Presiden PKR, Anwar Ibrahim menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai pengumuman polis sudah mengenal pasti dalang pembikinan dan penyebaran video seks sejenis menyasarkan seorang menteri kanan pada bulan lalu.
“Ya, saya baca kenyataan ketua polis negara. Kita tunggulah laporan lanjut sama ada video itu benar, bukan rekaan dan siapa yang dalangi serta siapa yang sebarkan.
“Pastinya itu dalam siasatan polis. Jadi, tidak payahlah kita buat jangkaan yang terlalu banyak,” katanya dipetik Bernama di Melaka hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, penyebaran video seks sejenis itu dibuat melalui pakatan tertentu dan beberapa individu sudah ditahan, tetapi beliau enggan mendedahkan identiti mereka.
Katanya, kertas siasatan kes itu dihantar kepada Jabatan Peguam Negara sebanyak 2 kali, tetapi polis diminta mencari bukti lain.
Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengakui dirinya seorang daripada 2 lelaki yang dirakam mengadakan hubungan seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan pada Mei lalu.
Beliau turut menamakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali sebagai pasangannya dalam video itu, tetapi dinafikan Azmin yang menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Sementara itu, Anwar menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat jika Exco Perak, Abdul Yunus Jamhari terbabit dalam rasuah.
“Oleh kerana laporan telah dibuat, kita serah kepada SPRM saja. Ada 2 isu, iaitu tuduhan rasuah dan kebocoran (maklumat).”
Ketua umum Pakatan Harapan itu berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung dakwaan itu, sama ada bekas pegawai khas exco itu mahupun Yunus sendiri.
“Yunus orang yang saya kenal dan beliau menjalankan tugas sebagai ahli berhormat dengan begitu baik.”
Semalam, Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean yang juga bekas pegawai khas Yunus, membuat laporan polis di Balai Polis Ipoh mendakwa exco itu membocorkan kertas minit mesyuarat kerajaan negeri untuk mendapatkan komisen daripada 2 syarikat pertanian.
Susulan itu, Yunus dilaporkan berkata, perkongsian pelbagai maklumat dan data kerajaan negeri dibuat atas kapasitinya sebagai wakil rakyat.
Katanya, penting untuk menyelesaikan pelbagai aduan serta masalah rakyat di kawasan yang diwakilinya.
Terdahulu, Anwar meluangkan kira-kira 4 jam menemui Majlis Pimpinan PKR Melaka di sini, selepas menemui komuniti nelayan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Kuala Linggi dan Pemuda PKR negeri. – FMT