Selepas setahun BN ‘digulingkan’ dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14, kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya berjaya mengutip kembali sekitar RM925 juta daripada pembaziran RM50 bilion skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mengulas hal itu, Exco Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata, kerugian yang amat tinggi dan hutang besar 1MDB itu menyebabkan kerajaan sukar melaksanakan usaha membaiki-pulih ekonomi serta menunaikan janji manifesto PRU 14 lalu.
“Jumlah RM50 bilion yang dibazirkan itu memang satu jumlah yang tinggi. Ia menyebabkan negara kita dibebani dengan hutang yang banyak. Oleh kerana itu banyak projek dan program untuk membantu rakyat sukar dilaksanakan sehingga rakyat merungut setelah setahun PH menjadi kerajaan (tidak banyak yang berubah).
“Namun demikian, kita telah membuat apa yang termampu. Kerajaan kini berusaha untuk membina lebih rumah mampu-milik dan menurunkan kadar tol supaya rakyat tidak begitu dibebani,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Oleh itu, Nizar menggesa agar rakyat tidak mudah dipengaruhi oleh pembangkang yang sentiasa menimbulkan rasa curiga ke atas PH. Nizar juga menyeru agar rakyat tidak tertipu dengan sentimen yang memanaskan isu-isu agama dan perkauman kerana isu-isu tersebut boleh menjejaskan perpaduan dan keamanan negara.
“Pihak pembangkang sedang bertungkus-lumus dalam usaha untuk menjatuhkan Kerajaan PH dengan strategi mengungkitkan sentimen perkauman.
“Kita perlu sentiasa berwaspada supaya tidak jatuh ke dalam perangkap mereka.
“Kerajaan PH adalah kerajaan yang adil dan telus dan sentiasa menjaga hak Melayu serta adil kepada semua lapisan masyarakat tidak kira bangsa dan agama,” kata Nizar lagi.