Presiden PKR Anwar Ibrahim mengaku terkejut dengan penahanan setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bagi membantu siasatan polis terhadap penyebaran rakaman seks dua lelaki yang dituduh melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Menurut Anwar, beliau hanya tahu melalui laporan media bahawa Farhash, yang juga pengerusi PKR Perak, ditahan polis.
“Saya amat terkejut kerana saya tidak pasti kenapa (perlu ditahan) tetapi polis mesti mempunyai sebab yang tersendiri,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen, hari ini.
Anwar yakin kebenaran dan keadilan akan terdedah dan meminta semua pihak agar menghormati siasatan polis yang menjalankan tugas mereka dengan profesional.
Farhash dilaporkan antara tiga yang ditahan polis semalam, yang menjadikan kesemuanya sembilan yang ditahan untuk siasatan setakat ini.
Pada Ahad, polis menahan enam orang termasuk Haziq Abdullah Abdul Aziz, bekas ketua Pemuda PKR Santubong yang mengaku beliau adalah lelaki dalam rakaman seks itu dan mendakwa berhubungan intim dengan Azmin.
Ini adalah kali kedua Haziq disiasat selepas ditahan semalaman sebulan yang lalu.
Polis memberitahu The Malaysian Insight, rakaman seks antara dua lelaki yang tersebar lima minggu lalu dipercayai didalangi pemimpin PKR sendiri.
Semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pihak polis menyiasat segenap aspek termasuk dakwaan penglibatan seorang wakil rakyat di Selangor dalam kes penyebaran rakaman seks itu.
Polis juga sudah laporan daripada CyberSecurity Malaysia mengenai kesahihan rakaman seks itu, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, semalam.
Bagaimanapun Huzir berkata dapatan itu tidak akan didedahkan kepada umum buat masa ini kerana pihak polis menunggu arahan selanjutnya daripada Pejabat Peguam Negara.
Ketua polis negara sebelum ini dipetik berkata pihaknya sudah menghantar kertas siasatan kes itu dua kali kepada Pejabat Peguam Negara tetapi dipulangkan untuk dikemas kini.
Penahanan sembilan individu, termasuk Haziq sekali lagi, sejak Ahad lalu dipercayai untuk melengkapkan kertas siasatan tersebut.
Selain siasatan penyebaran rakaman, polis juga menyiasat kesahihannya untuk menentukan jenayah seks di luar tabii.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan perintah reman enam hari terhadap Haziq manakala lima yang lain yang ditahan bersamanya sejak Ahad lalu dijangka dibebaskan esok – TMI