Mohamed Azmin Ali perlu letak jawatan sekiranya siasatan polis mengesahkan beliau adalah individu dalam rakaman seks dua lelaki yang tersebar lima minggu lalu, kata Anwar Ibrahim.
Tetapi, sekiranya ia tidak benar Azmin tidak perlu berundur, katanya lagi.
“Dia tidak perlu bercuti jika video itu tidak benar. Dia perlu meletak jawatan serta merta sekiranya ia terbukti benar,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Tambah ahli Parlimen Port Dickson itu, semua itu bergantung kepada hasil siasatan.
“Terpulang kepada polis dan SKMM untuk mengesahkan kesahihan video tersebut dan mengenal pasti dalang terlibat, kemudian dia perlu letak jawatan,” katanya apabila ditanya sama ada Azmin perlu bercuti sementara menunggu siasatan.
“Tetapi, jika kita tidak dapat mengesahkan kesahihan orang atau dua lelaki dalam video itu, dia tidak perlu bercuti.”
Jelasnya, pendirian PKR terang bahawa parti menolak politik kotor.
Bulan lepas, siri video memaparkan dua lelaki melakukan hubungan intim tersebar menerusi WhatsApp.
Bekas setiausaha politik seorang timbalan menteri PKR Haziq Abdullah Abdul Aziz kemudiannya mendakwa dua lelaki ialah beliau dan Azmin.
Azmin menafikan tuduhan itu, menyifatkannya sebagai konspirasi untuk merosakkan kerjaya politiknya.
PKR sudah memecat Haziq.
Sabtu lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata polis sudah mengenal pasti dalang rakaman dan penyebaran video itu.
Hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata terpulang kepada Azmin untuk bercuti sementara menunggu siasatan polis berkaitan video didakwa melibatkannya.
Menurut Dr Mahathir, penyebaran video itu bermotifkan politik untuk menamatkan kerjaya politik Azmin.
“Ya, boleh cuti atau boleh teruskan kerja. Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya.
Setakat ini, polis sudah menahan sembilan orang untuk membantu siasatan kes itu termasuklah pemimpin PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang juga setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim.
Anwar dalam ulasan penahanan setiausaha politiknya itu berkata beliau terkejut dengan berita itu.
“Saya amat terkejut kerana saya tidak pasti kenapa (perlu ditahan) tetapi polis mesti mempunyai sebab yang tersendiri,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen, hari ini. – TMI