Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menggambarkan kumpulan 13 individu yang ditahan pihak berkuasa di Tawau, Sabah awal minggu lalu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai amat berbahaya kepada keselamatan negara dan serantau.
Ketua penerangannya Riduan Mohd Nor menganggap kenyataan Datuk Seri Hishamuddin sebagai jawapan ‘melepas diri’ dari serangan rakyat pelbagai pihak yang meminta penjelasan daripada beliau.
“DPP Malaysia berpandangan, jawapan Datuk Seri Hishamuddin tidak konkrit bagi menjustifikasikan kumpulan 13 ditahan di bawah ISA. DPP Malaysia mempersoalkan Hishamuddin, sekiranya benar mereka berbahaya terhadap keselamatan negara dan serantau, mengapa perlu ditangkap di bawah ISA? Mengapa mereka tidak didakwa di mahkamah terbuka bagi membuktikan mereka benar-benar bersalah dan berbahaya?
“Jika pembunuh bersiri, termasuk episod pembunuhan kejam model Mongolia Altantuya Shaaribu serta Datuk Sosilawati masih diberikan proses pengadilan di mahkamah, mengapa tidak Kumpulan 13 juga didakwa di mahkamah yang sama. Nampaknya Kumpulan 13 lebih berbahaya daripada pembunuh bersiri, walaupun jenayah yang dituduh masih belum dilakukan lagi. Keganasan perlu diperangi, tetapi ISA bukan jalan penyelesaian yang adil untuk tertuduh,” katanya.
Riduan menempelak ISA yang menangkap seseorang hanya berdasarkan perisikan dan syak-wasangka. Sekiranya seseorang itu tidak melakukan sesuatu yang boleh dibuktikan, katanya, mereka wajib dibebaskan. Semua yang dilakukan oleh kerajaan BN adalah zalim dan sama sekali tidak boleh diterima oleh hukum agama dan prinsip undang-undang yang adil.
“Kumpulan 13 pula sekadar disyaki berbahaya, belum tentu mereka melakukan perbuatan tersebut atau terlibat dengan aktiviti tersebut. Bagaimana sekiranya pengadilan mahkamah membuktikan mereka tidak bersalah, sementara mereka pula telah ditahan di bawah ISA selama bertahun lamanya, bukankah Hishamuddin dan kerajaan Malaysia telah menzalimi rakyat Malaysia yang tidak bersalah? Ini juga yang telah terjadi kepada mangsa ISA sebelum daripada ini yang akhirnya mereka dibebaskan tanpa mengetahui apakah kesalahan yang mereka lakukan,” kecamnya.
Riduan mengingatkan Hishamuddin dan kerajaan Malaysia agar konsisten dengan janji yang ditaburkan terhadap rakyat. Jika ISA telah dijanjikan untuk dimansuhkan, ia perlu dikotakan.
“Sikap ‘walk the talk’ adalah sikap terpuji yang diidamkan oleh rakyat terhadap pemimpin negara ini. Sebaliknya, beretorik, flip flop dan janji kosong yang tidak tertunai adalah watak yang dibenci oleh rakyat. DPP Malaysia juga mengingatkan sikap inilah sebagai pendorong kepada kejatuhan rejim diktator yang zalim sepertimana dialami oleh negara-negara Timur Tengah pada hari ini,” akhirinya.