Penganalisis politik berpandangan had umur mengundi kepada 18 tahun yang diluluskan di Dewan Rakyat, baru-baru ini memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan berkata kerajaan PH mempunyai kelebihan untuk menarik pengundi baru terutama golongan muda jika mampu membuat dasar pro kepada mereka.
“Ini memandangkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) masih jauh. Sebab itu saya berpendapat perubahan had umur ini akan lebih memberi kesan positif kepada PH.
“Tetapi bergantung apakah dasar pro anak muda yang akan dibentangkan,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata kerajaan PH akan berdepan aura kerjasama Umno dan PAS terutama sekali untuk pengundi muda luar bandar.
Katanya, populariti pembangkang terutama melalui mekanisme kerjasama Umno-PAS melonjak tanpa dijangka.
“Dengan mengambil kira perubahan citarasa pengundi ini termasuk golongan muda maka boleh diandaikan manfaat perubahan had umur pengundi akan diperolehi oleh kedua-dua pihak, kerajaan dan juga pembangkang cuma tidak diketahui jumlah peratusnya.
“Sebab itu RUU yg dibentang oleh kerajaan juda dapat sokongan pihak pembangkang kerana kerjasama Umno dan PAS buka era baru terutama sekali pilihan anak muda.
Pada 16 Julai lalu, Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik pada usia 18 tahun, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun lulus dengan sokongan 2/3 Dewan Rakyat.
Jemaah menteri bersetuju menurunkan umur mengundi pada September tahun lepas, dan kerajaan juga memasukkan cadangan pembangkang yang mahu warganegara mencecah usia 18 tahun didaftarkan sebagai pengundi secara automatik, dan membolehkan mereka bertanding pilihan raya.
Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang senada dengan Azmi, berkata sudah tentu PH ada kelebihan kerana mereka ada jentera dan ruang banyak untuk mempengaruhi golongan muda.
Bagaiamanpun beliau berkata PH tidak boleh selesa kerana belum tentu mereka akan memperolehi keuntungan.
“Ini kerana umumnya golongan muda berjiwa ‘anti-establishment’ dan dipenuhi idealisme membara,” katanya.
Kamarul juga bersetuju dengan langkah kerajaan menurunkan had umur tersebut kerana ia satu langkah demokratik yang memberi lebih ruang kepada rakyat dalam urusan politik negara.
Namun katanya, kerajaan perlu membuat banyak persediaan dalam memberi kesedaran kepada pengundi muda terutama di peringkat sekolah menengah.
“Kena ubah sistem negara iaitu masukkan benda berkaitan politik dan kenegaraan secara rasmi dalam silibus atau dalam kegiatan kokurikulum,” katanya.
Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) pula tidak bersetuju penurunan umur mengundi kepada 18 tahun memberi kelebihan kepada PH.
Beliau berpandangan penurunan umur itu disifatkan sebagai terbuka (open table) kepada PH dan pembangkang.
“Sebab masing-masing perlu memikirkan strategi dan formula sesuai untuk menarik perhatian pengundi muda.
“Sebab itu, PH berani usul undi 18 walaupun ada persepsi kata ia beri kelebihan kepada pembangkang. Jadi pihak PH perlu ubah dasar lebih inklusif melibatkan anak muda seperti pekerjaan, pendidikan dan kebajikan anak-anak muda,” katanya.
Awang juga berkata persediaan yang mencukupi perlu disediakan seperti pendidikan demokrasi dan kepentingan pilihan raya kepada masyarakat dan negara perlu lebih ditekankan dalam sistem pendidikan negara.
Katanya, jika tidak, ini boleh menjuruskan manipulasi sokongan remaja terhadap parti tertentu dalam keadaan kematangan politik belum lagi lahir sepenuhnya.
“Umur bawah 18 masih lagi dipengaruhi ideologi politik ayah atau ibu mereka, maka ini jika tidak didik konsep demokrasi maka mudah untuk dimanipulasikan.
“Peranan ‘sivil society’ juga perlu dipertingkatkan dalam memberikan kesedaran kepentingan undi dan hak sebagai rakyat dan pengundi di negara ini untuk ‘exercise’ hak dan demokrasi di negara ini,” katanya. – FMT