SURAT TERBUKA KEPADA PRESIDEN PAS
YB Abdul Hadi bin Awang
Presiden PAS
Ahli Parlimen Marang
23 Julai 2019
Tuan,
Bismillahirrahmaanirrahim.
Segala puji bagi Allah, hanya kepada-Nya kita memuji, memohon pertolongan, dan memohon keampunan. Kita berlindung kepada Allah dari kejahatan peribadi dan keburukan amalan kita. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk. Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah sahaja, tidak ada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW ialah hamba-Nya dan Rasul-Nya.
Malam kelmarin telah berlaku suatu kejadian yang amat memalukan dan sangat menjatuhkan imej Islam di mata umum, berlaku di Durian Tunggal Melaka; sekumpulan orang PAS telah menceroboh ke dalam masjid untuk menghalang kuliah agama yang disampaikan oleh Ustaz Wan Ji Wan Husin. Ini adalah suatu tragedi kepada Agama Islam dan umat Islam di Malaysia. Lagak mereka tidak ubah seperti musuh Islam yang jahat yang mahu memerangi Islam.
Dalam Qur’an surah al-Anfal ayat 47, Allah berfirman tentang kedatangan pasukan Musyrikin Quraish ke Badar, maksudnya : “Dengan rasa angkuh dengan maksud riya’ kepada manusia serta menghalang orang-orang dari jalan Allah”.
Mereka mendatangi masjid dengan kasar, tidak beradab sama sekali, sangat buruk akhlak mereka, membuat kecoh dan riuh-rendah bising bbangor sekali dengan suara maki-hamun kata-kata kesat mencela umat Islam yang baru lepas mengerjakan solat berjemaah dan sedang mendengar kuliah agama. Mereka yang datang menyerang itu solat di mana? Sudah solat ke belum?
Tuan tidak boleh menafikan penglibatan PAS dalam insiden yang jelek ini. Sebahagian daripada mereka dengan jelas memakai baju PAS, bahkan telah tersebar satu surat rasmi dengan kepala surat berlogo Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyeru orang-orang PAS pergi ke masjid dan membantah kuliah agama oleh Ustaz Wan Ji. Tuan juga tidak boleh berbohong mengatakan Tuan tidak tahu-menahu atau di luar pengetahuan Tuan, kerana Tuan sendiri ada keluarkan kenyataan selepas kejadian itu, yang semua orang memahami perkataan itu Tuan maksudkan kepada Ustaz Wanji, di mana Tuan melabelkannya sebagai pendakwah jahil murakkab dan tentera syaitan.
Tuan,
Mustahil Tuan tidak tahu apa itu masjid. Masjid adalah tempat suci, tempat ibadat orang Islam, biasa disebut masjid sebagai Rumah Allah. Dalam nahu bahasa Arab, perkataan masjid ialah isim makan. Asal dari perkataan sujud, dasar kata sa ja da. Jadi dari segi bahasa, masjid bermaksud tempat sujud. Menurut istilah syarak, masjid adalah tempat solat.
Agama mengajar kita akan adab-adab yang perlu dipatuhi ketika datang dan memasuki masjid. Wajib mengikhlaskan niat kerana Allah, tidak ada niat yang lain. Mereka yang merempuh masjid dengan kasar untuk menghalang orang beriman nak dengar kuliah agama, itu niat kerana apa? Itu masjid, rumah Allah, mereka mahu tunjuk biadab dengan siapa sebenarnya?
Allah berfirman dalam surah al-A’raf ayat 31, maksudnya : “Hai anak Adam. Pakailah pakaian mu yang indah setiap kali memasuki masjid.”
Maksudnya memasuki masjid untuk solat, kena pakai pakaian yang lawa. Mereka itu merempuh masjid bukan untuk solat, bukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah, dan baju hijau ada lambang PAS yang mereka pakai bukannya lawa pun, dan tidak termasuk dalam kategori pakaian yang bagus untuk dipakai kalau memasuki masjid.
Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, dari Abu-Qatadah al-Ansari dia berkata : “Ketika kami sedang solat bersama Nabi SAW, tiba-tiba terdengar suara riuh-rendah beberapa orang. Selepas solat Nabi SAW bersabda : “Apa yang terjadi pada kamu?” Mereka menjawab : “Kami tergesa-gesa menuju solat.” Nabi SAW menegur mereka : “Janganlah kamuan lakukan hal itu. Apabila kamu mendatangi solat maka hendaklah berjalan dengan tenang, dan rakaat yang kamu sempat solatlah dan rakaat yang terlewat sempurnakanlah”
Tuan, bila cerita bab mendatangi masjid, tidak ada tujuan lain selain solat. Kuliah agama yang diadakan di masjid Durian Tunggal itu diadakan selepas solat berjemaah. Kalau datang ke masjid secara tergesa-gesa atau terkejar-kejar untuk solat pun nabi larang, adakah Tuan fikir agama membenarkan kumpulan yang mendatangi masjid untuk tujuan lain selain solat dengan merempuh ke dalam masjid secara kasar dan tidak beradab? Tidak, demi Allah! Perbuatan itu sangat jelas haramnya.
Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim : “Jika salah seorang dari kamu masuk masjid, maka hendaklah dia solat dua rakaat sebelum dia duduk”. Biasa disebut sebagai solat tahiyatul masjid.
Begitu, cara kita menghormati masjid sebagai rumah suci tempat ibadat orang Islam. Bukan datang dengan angkuh dan ganas sambil memaki-hamun, jauh sekali nak solat tahiyatul masjid. Jahil jenis apakah ini, wahai Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang?
Tidak sepatutnya seorang muslim masuk ke dalam masjid untuk suatu kepentingan duniawi tanpa mengerjakan solat dua rakaat. Nabi SAW bersabda, ”Di antara tanda-tanda hari Kiamat ialah seseorang memasuki masjid namun tidak mengerjakan solat dua rakaat di dalamnya dan seseorang tidak memberikan salam kecuali kepada orang yang dikenalnya)” [Hadis riwayat At-Thabrani dalam al-Kaabir jilid IX halaman 9489 dari Ibnu Mas’ud dan dinilai sahih oleh Syeikh Al-Albani dalam kitab Shahihul Jami, no.5896]
Dalam masjid kena bercakap benda yang baik-baik saja. Ucapan yang suci dan terpuji saja. Tidak boleh bertengkar, berteriak-teriak, atau melantunkan syair yang tidak baik di masjid. Begitu juga dilarang berjual beli di dalam masjid dan mengumumkan barang yang hilang. Nabi SAW bersabda, maksudnya : “Apabila kamu melihat orang menjual atau membeli di masjid maka katakanlah, ‘Semoga Allah tidak memberi keuntungan dalam jual beli mu!’ Dan apabila kamu melihat ada orang yang menguatkan suara di dalam masjid untuk mencari barang yang hilang, katakanlah, ‘Semoga Allah tidak mengembalikannya kepada mu’. [Sahih Sunan at-Tirmizi].
Dalam hadis yang lain, Nabi SAW melarang membaca Qur’an dengan suara yang nyaring dalam masjid. Kalau baca Qur’an atau berzikir dengan suara yang kuat pun dilarang, apatah lagi mereka yang datang untuk membuat bising dan memasuki masjid dengan kasar.
Nabi SAW bersabda : “Ketahuilah, kamu semua sedang bermunajat kepada Allah, maka janganlah saling mengganggu satu sama lain. Janganlah kamu menguatkan suara dalam membaca Quran. Atau baginda berkata, “dalam solat” [Hadis riwayat Abu Dawud no. 1332 dan Ahmad no. 430 dan dinilai sahih oleh Ibnu Hajar Al Asqalani dalam kitab Nata-ijul Afkar jilid 2 hlm 16]
Tuan,
Tidakkah Tuan takut akan larangan Nabi SAW terhadap orang-orang yang berkumpul di dalam masjid untuk kepentingan dunia semata-mata? Bukankah Nabi SAW pernah bersabda : “Akan datang suatu masa kepada sekelompok orang, di mana mereka melingkar di dalam masjid untuk berkumpul dan mereka tidak mempunyai kepentingan kecuali hal dunia dan tidak ada bagi kepentingan apapun pada mereka maka janganlah duduk bersama mereka”
Akhir sekali, tolong bacakan sabda Nabi SAW tentang adab memasuki masjid dan keluar dari masjid, sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis dari Abu Usaid, atau Abu Humaid, dia berkata, Nabi SAW bersabda : “Jika salah seorang di antara kamu masuk masjid, maka hendaknya dia membaca, “Allahummaftahli abwaaba rahmatika” (Ya Allah, bukalah pintu-pintu rahmat-Mu). Dan apabila keluar, hendaknya dia mengucapkan, “Allahumma inni as-aluka min fadhlika (Ya Allah, aku meminta kurnia-Mu)”, hendaklah melangkah kaki kanan ketika masuk dan melangkah kaki kiri ketika keluar.
Tuan,
Sebagai Presiden PAS, saya mengira Tuan akan menafikan penglibatan PAS dalam kejadian itu, atau Tuan akan mengaku akan keterlibatan PAS Durian Tunggal dan memohon maaf atas kejadian itu; tetapi rupa-rupanya Tuan mengambil peluang itu untuk menghina Ustaz Wanji sehina-hinanya dengan membuat tuduhan yang amat berat, Tuan menggelarnya sebagai pendakwah jahil murakkab dan tentera syaitan. Mokhtar Senik selaku Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang merangkap Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merangkap Ahli Majlis Syura Ulama PAS pula menggelarkan Ustaz Wanji sebagai bekas banduan, seperti murai tercabut ekor. Akhlak apakah ini wahai Tuan Presiden?
Tuan menghina seorang ilmuan Islam yang sedang menyampaikan kuliah agama dalam masjid, tanpa sebarang hujah dan dalil, adakah Tuan sedar kalau tuduhan yang Tuan lemparkan itu tidak benar sama sekali? Apa alasan Tuan melabelkan Ustaz Wanji sebagai jahil murakkab? Kalau betul dia jahil murakkab, nescaya semua orang PAS dalam dunia ni jahil murakkab belaka, termasuk Tuan.
Islam adalah agama wahyu. Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 116, maksudnya : “Janganlah kamu berkata-kata menurut dusta yang diucapkan oleh lidah-lidah kamu: Ini halal dan ini haram, kerana (dengan itu) kamu berdusta atas nama Allah.”
Tuan dikultuskan sebagai ulamak oleh pengikut PAS. Apa-apa perkataan yang keluar dari mulut Tuan dianggap sebagai fatwa agama. Tuan tidak sepatutnya bercakap tentang agama dengan sewenang-wenangnya menurut hawa nafsu Tuan. Menuduh orang beriman yang tidak pernah diketahui apa dosanya kepada Allah sebagai tentera syaitan, itu satu tuduhan yang amat berat. Apa alasan Tuan sehingga menuduh dia sebagai tentera syaitan? Tidakah Tuan terfikir kalau di sisi Allah dia bukan tentera syaitan, maka siapa tentera syaitan yang sebenarnya?
Tidak cukup lagikah selama ini Tuan melabelkan orang lain yang tidak sependapat dengan Tuan sebagai biawak, anjing, babi, monyet, munafik, musuh Islam, musuh Allah, dan seumpamanya?
Tidakkah Tuan pernah membaca firman Allah dalam Qur’an surah an-Nisa’ ayat 59, maksudnya : “Jika kamu bertengkar di sesuatu urusan, hendaklah kamu kembali kepada Allah dan Rasul jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat.”
Katanya dasar PAS ialah Qur’an, Hadis, Ijmak dan Qiyas, tetapi Tuan sendiri bila bertengkar tidak pernah kembali kepada Qur’an dan Hadis, tetapi hanya bercakap menurut hawa nafsu semata-mata, sedangkan orang-orang jahil dari kalangan pengikut PAS yang walak kepada Tuan akan menganggapnya sebagai fatwa agama. Sangat besar kesalahan Tuan. Tidak sedikit orang PAS yang sesat kerana mengikut Tuan.
Sekian teguran suci dari saya. Semoga bermanfa’at. Wa billahi tauifiq wal hidayah, assalamu’alaikum warahmatullah.
.
Abe Awang Malaya