Pemimpin PKR perlu mengutamakan mesyuarat parti sebagai saluran untuk menyuarakan pandangan dan tidak bertikam lidah di media, kata Setiausaha Agungnya Saifudin Nasution.
Walau tidak menamakan mana-mana individu, tegurannya itu disasarkan kepada pemimpin tertinggi yang jarang hadir ke mesyuarat parti.
Saifuddin menegaskan, pemimpin parti perlu hadir ke mesyuarat terbabit, sebagai contohnya mesyuarat biro politik kerana ia platform terbaik untuk menyuarakan pandangan.
“Semua pihak terutamanya pimpinan utama perlu manfaat saluran dan mesyuarat dalam parti. Mereka perlu hadir kerana mesyuarat parti ini kita jadualkan secara tetap.
“Ia bermaksud mereka tak boleh isi program pada ketika mesyuarat parti. Rabu malam, 8.30, mereka tidak patutlah ambil program lain. Berilah keutamaan,” kata Saifuddin kepada The Malaysian Insight.
Beliau kecewa kerana ada dalam kalangan pemimpin berkenaan sibuk mengisi jadual ke luar negara apabila parti mengadakan mesyuarat penting.
“Masa itulah mereka hendak pergi ke luar negeri, hendak balik ke kawasan. (Sedangkan) jadual itu telah diberikan lebih awal.
“Mereka tetapkanlah dalam jadual masing-masing. Itulah baru sayangkan parti,” katanya lagi.
Sumber parti mendedahkan, ada pimpinan yang hanya hadir 20% daripada mesyuarat yang diadakan setiap minggu selepas pemilihan berakhir Disember tahun lalu.
Isu mengenai ketidakhadiran ke mesyuarat penting PKR itu meruncing apabila timbul kes video seks yang dikaitkan dengan pemimpin tertinggi parti berkenaan sejak Mei.
Bekas ketua Pemuda Santubong Haziq Abdullah Abdul pada Mei lalu mengaku sebagai individu dalam video berkenaan dan menuduh Azmin Ali sebagai pasangannya dalam rakaman itu.
Timbalan presiden PKR itu menafikannya dan mendakwa ia adalah usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Azmin juga mendakwa mengetahui terdapat individu tertentu yang mendalangi tuduhan berkenaan.
Beliau bagaimanapun tidak hadir ke pemukiman PKR pada minggu lalu, yang disifatkan pemimpin parti sebagai wadah terbaik untuk mempertahankan dirinya daripada tuduhan berkenaan.
Sejak tuduhan itu timbul pada Mei, pemimpin dari pelbagai lapisan PKR juga tampil menyerang sesama sendiri kerana perbezaan pendapat dalam kes tersebut yang kini disiasat polis.
Mengulas lanjut, Saifudin berkata semua pemimpin perlu lebih berdisplin dalam memberikan kenyataan yang berbeza pendapat.
“Saya tahu perkara itu (pertelagahan) boleh diatasi sekiranya adanya disiplin setiap pimpinan itu tahu kawal diri. Waktu bila hendak bercakap dan tahu waktu bila dia tak patut berikan sebarang komen.
“Apa lagi kalau pandangan yang bersifat menyerang, menghina dan itu akan mengundang reaksi balas. Jadi akhirnya tak berkesudahan,” katanya lagi.
Antara pimpinan yang lantang mengkritik ialah Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor Amirudin Shari dan bekas pegawai Anwar Ibrahim, Khalid Jaafar. – TMI