Veteran DAP Lim Kit Siang menyokong gesaan supaya hukuman berat dikenakan kepada sesiapa yang menghina Nabi Muhammd atau mana-mana agama negara ini.
Dalam satu kenyataan, wakil rakyat Pakatan Harapan itu berkata hukuman berat tersebut boleh menjadi petunjuk jelas bahawa keharmonian kaum dan agama adalah keutamaan kerajaan PH.
“Catatan terbaru di Facebook yang menghina Nabi Muhammad menyebabkan ratusan laporan polis dibuat, dan polis bersama-sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berusaha mengesan pemilik akaun menggunakan nama Wendy Loong itu.
“Sekiranya catatan di Facebook menghina Nabi Muhammad dan mana-mana agama adalah kerja provokasi untuk mencetuskan isu politik, ia perlu dikecam keras, dan orang yang bersalah perlu diheret ke muka pengadilan kerana cuba memperlekeh keharmonian kaum dan agama di negara ini,” katanya.
Dalam kenyataan dikeluarkan malam tadi, polis berkata 483 laporan dibuat terhadap pemilik akaun Facebook menggunakan nama Wendy Loong.
“Pihak polis mendapati posting (hantaran) yang dibuat oleh Wendy Loong dipadam dan polis memohon kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti serta menjejaki pemilik akaun Wendy Loong untuk tindakan lanjut,” kata Ketua Komunikasi Korporat PDRM Asmawati Ahmad. – TMI