Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak pernah hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik sejak pemilihan parti itu pada November 2018, kata setiausaha agung parti itu Saifuddin Nasution Ismail.
“Kehadiran (mesyuarat) Biro Politik kosong, kehadiran (mesyuarat) Majlis Pimpinan Pusat kosong,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini menerusi Whatsapp.
Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata Azmin tidak pernah memberikan sebarang sebab atas ketidakhadirannya.
“Tidak pernah dinyatakan alasan.”
Isu kehadiran dalam mesyuarat PKR mengundang perhatian selepas pemimpin parti itu diingatkan untuk hadir ke mesyuarat parti memandangkan jadual telah diedarkan dua atau tiga bulan lebih awal.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Saifuddin telah memberikan peringatan itu berulang kali.
Untuk rekod, Azmin juga tidak hadir di pemukiman PKR di Port Dickson hujung minggu lalu.
Mesyuarat Biro Politik – yang mengendalikan soal eksekutif – diadakan seminggu sekali, manakala mesyuarat MPP – badan pembuat keputusan tertinggi parti – sebulan sekali.
MPP memiliki 41 anggota, dengan 28 dipilih ketika pemilihan tahun lalu manakala 13 lagi menerusi lantikan. Sejumlah 22 anggota tersenarai dalam calon kem Azmin (biasanya disebut sebagai ‘cai’) ketika pemilihan lalu.
Kali terakhir Malaysiakini melihat Azmin di mesyuarat biro politik PKR ialah pada September tahun lalu.
Terdahulu hari ini, Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi mempersoal mengapa dirinya menjadi sasaran berkenaan ketidakhadiran ke mesyuarat MPP yang diadakan semalam.
Beliau berkata sudah menjadi lumrah bagi seseorang pemimpin tidak dapat hadir ke mesyuarat parti, apatah lagi jika turut menjadi anggota kerajaan.
“Ada program parti yang saya hadir, kalau tiada tugas kerajaan. Kalau ada (tugas) saya akan maklum.
“Itu proses normal. Kenapa sasarkan saya?… Kita sebagai pemimpin parti kerajaan, kita ada tanggungjawab kepada kerajaan dan parti,” katanya. – mkini