Rancangan Putrajaya untuk mengambil alih empat lebuh raya milik Gamuda Bhd pada harga RM6.2 bilion ditangguhkan disebabkan ada “pertentangan pendapat dalaman” berhubung cadangan yang dikemukakan oleh Kementerian Kewangan, lapor Straites Times.
Akhbar Singapura itu melaporkan, seorang menteri kabinet mengatakan bahawa “keseluruhan perkara itu ditangguhkan sementara menunggu kajian penuh”.
Semakan itu dibuat kerana Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mengumumkan rancangan itu dan menawarkannya kepada pemegang saham Gamuda tanpa kelulusan kabinet.
Laporan itu berkata, cadangan itu “mendedahkan keretakan” dalam pentadbiran Pakatan Harapan dengan pengkritik pelan berkata ia lebih mahal dari apa yang diperlukan.
Rancangan Kementerian Kewangan untuk memperkenalkan sistem “caj kesesakan” juga tidak mencukupi untuk membayar hutang yang diambil untuk pemerolehan itu.
Bagaimanapun penyokong rancangan itu berkata ia boleh menjadi model bagi kerajaan untuk memenuhi janji pilihan raya untuk menghapuskan tol.
The Straits Times berkata, kementerian tidak memberikan sebarang respons mengenai kenyataan itu.
Rancangan untuk mengambil alih empat lebuh raya – Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart diumumkan pada Februari lalu.
Gamuda merupakan pemegang saham terbesar dalam keempat-empat lebuh raya berkenaan – TMI