Umno dan Pas mudah untuk menandatangani Piagam Rakyat yang menjadi mercu tanda kerjasama antara mereka sebulan dari sekarang. Namun di peringkat bawahan atau akar umbi, kerjasama itu masih kelihatan kabur dan mungkin ditolak sama sekali.
Menurut Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Mohd Nor, permusuhan Umno – Pas selama 60 tahun tidak mungkin boleh dirungkai hanya dengan semangat kerjasama menghadapi pilihan raya semata-mata.
Katanya, di Pantai Timur kerjasama atau taawun siyasi itu hampir tidak kelihatan, dan dalam kalangan ahli Umno atau Pas masih tidak mengadakan program bersama.
“Di Kelantan misalnya, kita lihat Umno Kelantan mengambil pendekatan ikut keputusan pusat tetapi peringkat bawah belum tentu setuju kerana masih ramai yang menolak kerjasama.
“Ahli biasa masih memandang dengan perasaan curiga di antara mereka dan Pas. Namun disebabkan sekarang masih belum ada pilihan raya, belum ada pembahagian kerusi dan sebagainya jadi nampak mereka ok.
“Tapi masalah akan timbul menjelang pilihan raya sebab kalau dalam Umno sendiri ada perebutan kerusi ini pula perlu berbahagi dengan parti lain,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Pada masa sama, menurut Kamaruddin, ahli bawahan Umno juga akan semakin celaru kerana terdapat pimpinan tertentu dalam parti seperti Nazri Aziz dan Khairy yang lebih selesa menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding Pas.
“Mereka (ahli Umno) tidak tahu apakah pendirian sebenar parti itu.
“Jadi sekarang mereka memerhati tingkah laku ahli politk untuk melihat ke mana hala tuju parti. Kalau tindakan yang dibuat pimpinan itu tidak popular maka ahli terpaksa buat perhitungan sendiri,” katanya lagi.