Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sedang melaksana pelbagai usaha bagi memastikan lebih ramai umat Islam di negara mendapat kesempatan menunaikan haji.
Selain sedang berunding dengan kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan kuota menunaikan haji ditambah, kerajaan juga bakal melaksana beberapa langkah lain.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, semua usaha itu adalah bagi memendekkan tempoh giliran menunggu yang kini dicatat pada kadar 116 tahun,
“Memang benar senarai menunggu bagi mereka yang mendaftar haji mengambil tempoh sangat panjang.
“Tempoh giliran menunggu adalah 116 tahun dan kita mahu memendekkannya.
“Selain berunding mendapatkan kuota tambahan, kita ada pelan lain,” katanya dipetik.
Selain memohon tambahan kuota jemaah, kerajaan bercadang menghentikan pendaftaran haji kali kedua dan memberi keutamaan kepada bakal jemaah kali pertama.
Sebagai rekod, kerajaan Arab Saudi menetapkan kouta berdasarkan jumlah penduduk sesebuah negara. Bagi Malaysia kouta rasminya ketika ini ialah 30,200 tempat.
Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan sementara itu berkata pihaknya juga sedang mengkaji untuk memberi keutamaan kepada warga emas menunaikan haji lebih awal daripada jadual asal pada masa hadapan.
“Ia (keutamaan) itu belum diletakkan sebagai dasar dalam Tabung Haji, namun boleh dikaji sebagai dasar pada masa hadapan,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara minggu lalu. – RF8