TAHRIR, 18 November: Ribuan penunjuk perasaan telah memenuhi Dataran Tahrir atas desakan dan permintaan supaya menghentikan pemerintahan tentera dan beralih kuasa kepada presiden yang bakal dilantik menjelang April 2012.
‘Dokumen Selmi’ yang telah dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Politik, Ali El-Selmi, menjadi antara sebab utama kebangkitan kebanyakan parti politik khususnya daripada golongan Islam di Tahrir hari ini. Dalam dokumen tersebut terdapat kenyataan berkenaan tindakan untuk memberikan kuasa tidak terbatas kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) serta meletakkan syarat yang tidak wajar kepada pembetukan satu perhimpunan anggota dengan merangka perlembagaan baru.
Setelah beberapa bulan memerintah, SCAF semakin terhimpit dengan pelbagai sebab antaranya termasuklah keadaan ekonomi negara yang semakin merosot dan bertindak untuk mengabaikan permintaan pasca Revolusi 25 Januari lalu.
Sepanjang berkuasa, SCAF berikrar dan berjanji untuk mengakhiri pemerintahan sementara selepas tempoh peralihan selama enam bulan berikutan penggulingan Presiden Hosni Mubarak pada 11 Februari lepas. Namun, majlis pemerintahan tentera telah dikekalkan memegang kuasa selama lebih daripada 10 bulan. Akibatnya, majoriti rakyat tempatan Mesir daripada pelbagai latar belakang politik dan ideologi tidak mampu lagi menahan sabar dan bertindak mendesak pemerintahan tentera agar dihentikan segera.
Golongan Islamis telah mendominasi perhimpunan tersebut termasuklah Ikhwanul Muslimin dan juga sayap politiknya, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) serta puak Salafi. Selain itu, golongan bukan Islamis seperti Gerakan Belia 6 April, Sosialis Revolusi, Gerakan Permulaan, Parti Perikatan Popular Sosialis dan Gabungan Belia Revolusi juga telah membanjiri Dataran Tahrir dan mengambil bahagian dalam demonstrasi yang digelar The Friday of One Demand.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa parti politik yang mengumumkan bantahan terhadap protes tersebut. Antaranya ialah Parti Liberal Wafd dan Free Egyptian Party serta parti berhaluan kiri Tagammu Party dan Parti Komunis Mesir. Nasserist Karama Party telah membantah dengan mengemukakan kenyataan bahawa demonstrasi yang dijalankan adalah atas rampasan kuasa lain dengan merujuk kepada kuasa gerakan Islam Mesir.
Sumber: Ahram