Kerajaan Negeri Selangor maju setapak lagi dalam usaha bersungguh-sungguh menangani isu pembuangan sampah secara haram.
Terbaru, pihak pentadbiran negeri akan memperkenal enakmen bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pihak yang terus melakukan kesalahan itu.
EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han berkata dengan adanya enakmen baharu tersebut, pihak berkuasa Kerajaan akan dapat menangani aktiviti haram yang semakin berleluasa itu dengan lebih berkesan.
“Perkara seperti ini sangat serius. Kerajaan Negeri sangat komited dalam menangani isu seperti ini, kita mahu ia ditangani dengan segera,” katanya dipetik Selangorkini.
Tambahnya lagi, enakmen berkenaan juga diwujudkan bagi memastikan pengurusan sampah pihak industri dapat diselaraskan.
“Daripada siasatan, hampir semua tapak pelupusan sampah haram datang dari industri membabitkan sampah binaan, hotel dan pusat membeli-belah.
“Kontraktor yang dilantik pihak berkenaan tidak mematuhi syarat. Kerajaan Negeri bertegas bagi mengelakkan perkara ini daripada terus berlaku,” katanya.
Ng Sze Han sebelumnya meninjau kerja operasi pemadaman api di tapak pelupusan sampah haram bersebelahan plaza tol Sungai Long yang terbakar sejak Selasa lalu. – RF8 Media