Penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor terlalu awal tiada kaitan dengan apa-apa usaha untuk menggantikan Amirudin Shari sebagai Menteri Besar.
Perkara itu disahkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor termasuk Speaker DUN sendiri, Ng Suee Lim.
Suee Lim yang juga ADUN Sekinchan itu lagi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang usul undi tidak percaya terhadap Amirudin Shari seperti digembar-gemburkan.
“Kalau ada, mereka kena beri (usul) awal ke Pejabat Speaker,” katanya.
Terdahulu, tindakan Dewan menangguhkan persidangan selepas ianya hanya berlangsung dua hari menimbulkan tanda tanya. Mengikut jadual asal, ia sepatutnya berlangsung selama sembilan hari sehingga 9 Ogos ini.
Baru-baru ini dispekulasikan terdapat usaha untuk mengganti MB Selangor dan pihak terbabit didakwa telah mempunyai cukup sokongan 35 ADUN bagi menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj memaklumkan pertukaran MB. Atau melakukannya melalui undi tidak percaya di Dewan Negeri.
Bagaimanapun, sehingga dewan selesai bersidang tiada usaha ke arah itu direkodkan malah tiada perwakilan yang diberitakan menghadap Sultan Selangor setakat ini. – RF8 Media