Kekurangan reformasi dalaman di RTM mahu pun Tv Al Hijrah mengecewakan pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Hal ini kerana telah lebih setahun pemerintahan, slot kuliah dan ceramah ilmu terutama program agama di RTM misalnya masih mengekalkan muka lama.
Malah sesetengahnya dianggap ustaz dan ilmuan yang cenderung kepada ideologi Umno dan Pas yang menggalakkan politik perkauman serta agama sempit
Sehubungan itu Penasihat Umum Amanah, Datuk Seri Ahmad Awang menggesa agar satu jawatankuasa khas atau lembaga dibentuk bagi mengawal dan menyemak kesesuaian serta kualiti penceramah di media kerajaan.
Katanya, ia adalah bagi menyekat segelintir penceramah yang menggunakan saluran agama untuk menyampaikan dakwah politik kepada penonton.
“Kalau nak bercakap pasal politik boleh tetapi menjelang pilihan raya nanti, contohnya 2 – 3 bulan sebelum PRU kita sediakan platform khas nak sampaikan ceramah, tapi bukan sekarang.
“Sekarang ini kita lihat secara terang mereka kutuk pemimpin kita tetapi masih boleh berceramah di tv,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Ahmad melihat tindakan terbabit seolah-olah membunuh impian rakyat yang inginkan Islam syumul dan tidak diperalatkan bagi tujuan politik.
“Kalau mereka (penceramah) gunakan saluran luar kutuk kerajaan, lantak merekalah. Tetapi sekarang dengan jelas mereka gunakan radio tv kerajaan bagi kepentingan politik.
“Kita mahu jadikan saluran itu benar-benar membantu kerajaan dan bukannya menimbulkan masalah apabila mereka (pembangkang) yang tidak mempunyai fahaman polisi kerajaan ditampilkan,” katanya lagi. – RF8 Media