Menjadi tanda tanya beberapa peguam kanan yang membela Najib Razak tidak muncul di mahkamah dalam minggu ini dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Terdapat spekulasi bahawa mereka telah pun berundur dari berkhidmat kepada bekas PM itu.
Antaranya bekas peguam cara negara II Mohd Yusof Zainal Abiden dan Kamarul Hisham Kamaruddin.
Menurut laporan The Malaysian Insight, seorang anggota pasukan peguam bela Najib mengesahkan pengunduran mereka kepada portal itu. Katanya, mereka tidak lagi terlibat aktif dalam perbicaraan kes yang bermula sejak 3 April lalu.
“Datuk Yusof, Datuk Kamarul dan pembantu mereka tidak terlibat dalam prosiding mahkamah kes SRC yang sekarang sudah sampai ke hujung kes pendakwaan.
“Tetapi kami terus berhubung dengan mereka mengenai aspek teknikal kes sebelum penghujahan akhir,” kata peguam itu kepada The Malaysian Insight.
Ditanya kenapa mereka mengundur diri dari pasukan pembelaan, peguam itu berkata ia rahsia antara peguam dan Najib sebagai anak guam. Beliau enggan mengulas lanjut.
Kerahsiaan antara peguam dan anak guam adalah prinsip hubungan dan komunikasi yang dihormati dan dipelihara dalam profesion perundangan.
Mereka yang bersama-sama Yusof ialah Chong Loong Men, Devanandan S Subramaniam dan Tiara Katrina Fuad.
Peguam kanan itu mula tidak kelihatan di mahkamah sejak dua minggu lalu selepas perbicaraan ditangguhkan pada 24 Julai kerana tiada peguam kanan untuk melakukan pemeriksaan balas ke atas saksi pendakwa Joanna Yu.
Selain nama-nama di atas, peguam lain ialah Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh, Farhan Read, Muhammad Farhan Shafee, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Rahmat Hazlan, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza.
Kes pendakwaan kini masuk hari-hari akhir dengan tinggal hanya seorang saksi yang belum dipanggil. Kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan kemudian akan membentangkan hujah penutup, yang dijangka selesai sebelum 15 Ogos.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian akan memutuskan ada atau tidak kes prima facie terhadap Najib.
Sekiranya ada kes, Najib akan diperintah membela diri dan pihak pembelaan akan memanggil saksi untuk memberikan keterangan. – RF8 Media