Kenyataan terbaharu Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim yang menafikan persidangan DUN disingkatkan untuk mengelak pembentangan pindaan enakmen penukaran agama anak secara sepihak, mematikan spekulasi ketegangan hubungan antara beliau dan Menteri Besar Amirudin Shari.
Kenyataan yang dikeluarkan kepada pemberita selepas mesyuarat Pakatan Harapan Selangor di rumah rasmi menteri besar itu juga menyifatkan pembentangan pindaan enakmen tersebut sebagai “khabar angin yang disebarkan oleh media”.
Menurut Ng, alasan beliau menangguhkan persidangan DUN kerana penyertaan Adun yang rendah dalam perbahasan mengenai isu-isu yang dibentangkan. Sedangkan, katanya pindaan mengenai RUU yang diheboh-hebohkan itu tidak ada dalam Aturan Urusan Mesyuarat.
“Sebagai speaker saya mengikut peraturan dan urusan mesyuarat,” katanya dipetik Malaysiakini.
Ng juga memberitahu perkara sama turut berlaku ketika Hannah Yeoh menjadi speaker pada tahun 2016 dan 2017, di mana sesi sidang DUN pernah disingkatkan.
Berhubung mesyuarat di rumah menteri besar Ng berkata, agenda hanya membincangkan untuk meningkatkan perpaduan dalam pentadbiran kerajaan.
“Kita hanya membincangkan bagaimana kita (boleh) eratkan hubungan sesama PH untuk kita memberi keyakinan kepada rakyat bahawa Selangor dapat sampaikan semua program yang ada dan juga maju ke hadapan, membawa kebajikan, keselesaan dan juga masalah rakyat dapat kita utarakan.
“Itu perkara yang kita tumpukan lebih daripada semua isu yang berlaku,” katanya.
Usul pembentangan pindaan RUU penukaran agama kanak-kanak di bawah umur pada sidang DUN bulan lalu menimbulkan kekecohan apabila Ng menyingkatkan tempoh sesi persidangan itu kepada dua hari.
Pada masa sama, terdapat juga dakwaan kedudukannya sebagai speaker akan digantikan susulan daripada isu tersebut.
Bagaimanapun, semalam, empat pengerusi Pakatan Harapan Selangor menyatakan sokongan terhadap Amirudin dan Ng. – RF8 Media