Pelajaran seni tulisan khat Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sebagai pilihan sebagaimana diputuskan oleh kabinet semalam merupakan solusi terbaik bagi menghentikan polemik berpanjangan isu itu sejak seminggu lalu.
Pengerusi Biro Pendidikan PKR Pahang, Abas Awang berkata, isu tersebut menjadi kontroversi sebelum ini akibat salah faham 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil yang menganggap pembelajaran seni khat akan diwajibkan kepada murid bukan Melayu dan dinilai di dalam peperiksaan.
Oleh itu, katanya, keputusan kabinet menetapkan tulisan khat jawi hanya akan diperkenal secara pilihan di sekolah vernakular adalah langkah yang bijak dan menghentikan penentangan bukan Melayu yang diapi-apikan oleh parti pembangkang.
“Apabila mereka (persatuan pendidikan) keliru dan kerajaan tidak menjelaskan dengan baik maka timbullah rasa tidak puas hati dan bantahan. Wujudlah gelombang masyarakat Cina dan India yang prejudis terhadap seni khat.
“Mereka bimbang kononnya pembelajaran khat berunsur agama Islam. Sedangkan ia tidak ada kena mengena dengan agama dan sebagainya. Ia adalah seni yang sama seperti seni kaligrafi agama lain juga.
“Jadi tidak perlu hal ini sampai menjadi perpecahan kaum. Saya juga bimbang isu ini akan diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kelak,” katanya ketika dihubungi.
Abas yang merupakan bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan menambah, pengenalan tulisan Jawi juga tidak akan mengganggu pembelajaran murid-murid kerana hanya dimuatkan dalam tiga halaman buka teks mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 dan diajar empat kali dalam setahun dalam tempoh 10 minit.
Sementara itu, mengulas apakah pihak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menukar cara membuat keputusan dalam kementerian supaya tidak berlaku lagi hal-hal kontroversi sedemikian pada masa akan datang, Abas memberi nasihat agar satu prosedur standard yang lebih teratur dan mengambil kira pendapat pelbagai pihak diperkenalkan.
“Kerajaan PH jangan buat keputusan yang mengelirukan rakyat. Dalam keadaan sekarang kerajaan kena faham isu perkauman sedang hangat diperkatakan, PH perlu jadi lebih baik daripada kerajaan sebelumnya.
“Oleh kerana rasisme makin kuat maka perkara baik (kelihatan sebaliknya dan) tak dapat dilaksanakan dengan berkesan. Dalam keadaan ini kerajaan peru ubah strategi,” ulasnya.
Bagaimanapun, Abas mengingatkan bukan Melayu agar tidak keterlaluan dalam tuntutan mereka dalam isu bahasa kerana suatu masa dahulu bahasa Melayu adalah ligua franca kepada setiap bangsa yang menghuni Tanah Melayu.
“Zaman dulu orang Cina dalam kampung Melayu pun cakap Melayu sangat fasih. Di Kelantan Cina cakap guna dialek Kelantan, begitu juga di Kedah.
“Itulah yang saya mahukan kerajaan hari ini lakukan, dari segi bahasa kerajaan tak ada tolak ansur supaya perpaduan negara pada masa akan datang lebih kukuh,” ulasnya.
Pada 8 Ogos lalu Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata jemaah menteri memutuskan memberi guru kuasa menetapkan sendiri kaedah pelaksanaan pelajaran seni khat di sekolah.
“Jemaah menteri dalam keputusannya memaklumkan bahawa pengenalan tulisan khat ini akan dimuatkan sebanyak tiga muka surat dalam buku teks.
“Di samping itu, jemaah menteri juga menetapkan supaya pengenalan tulisan khas ini dilaksanakan secara pilihan dengan guru diberikan kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing.
“Jemaah menteri juga secara sepakat bersetuju agar pengenalan tulisan khat ini tidak dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya. – RF8 Media