PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas dakwaan Najib Razak bahawa maksud sebenar ‘Cash Is King’ oleh Ahli Parlimen Pekan itu telah disalah tafsirkan.
Menyifatkan Najib sebagai terdesak sehingga sanggup memutarbelitkan kenyataannya demi kepentingan diri, Dr Mahathir berkata, beliau yakin rakyat Malaysia bijak menilai apa yang sedang dilakukan Najib.
“Fantasticlah Najib ni. Dia kata kononnya makna lain, Kalau ‘Rakyat Is King’ pergi layan la rakyat,” sindir Dr Mahathir.
Najib yang sedang berdepan perbicaraan membabaitkan skandal 1MDB baru-baru ini mendakwa Dr Mahathir mungkin tidak faham atau sengaja mengelirukan istilah disebutnya hingga timbul persepsi negatif terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Bercakap dalam program anjuran Penerangan Umno Malaysia Najib berkata, istilah “Cash is king’ maksudkan bukan secara literal, dan ‘king’ (raja) yang dimaksudkanya ialah rakyat.
“Bila dia sudah terjerat tak boleh nak kata apa. Dia kata bukan tu maknanya. Dia cakap lain.
“Tidak logiknya, ‘Cash Is King’ konon Rosmah dapat duit beli beg, beli apa semua. Yang mana rakyat dapat? Yang rakyat dapat tu bribery untuk nak dapat sokongan. Takkanlah rakyat bodoh sangat,” tambah Dr Mahathir lagi. – RF8 Media