Kerjasama Umno-Pas yang akan dimeterai secara rasmi pada 14 September depan dijangka menimbulkan konflik khususnya dalam proses pembahagian kerusi.
Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata formula pembahagian kerusi yang dispekulasikan secara hampir sama banyak di antara kedua-dua parti mungkin dipertikaikan oleh pemimpin bawahan atau ahli akar umbi berdasarkan prestasi kedua-dua parti yang berbeza.
Katanya, proses itu tidak menjadi masalah di kawasan kedua-dua parti kurang berpengaruh tetapi akan berlaku ketegangan di kubu kuat masing-masing.
“Kalau 50:50 bererti antara Umno dan Pas sama kuat dan seimbang. Sedangkan, kalau kita lihat prestasi Pilihan Raya Umum ke-14 Umno menang lebih banyak kerusi berbanding Pas.
“Adakah formula itu betul-betul dibuat (dan akan digunakan) saya tidak pasti tetapi ia tidak begitu sesuai kerana ada tempat tertentu menjadi kubu kuat Pas dan ada tempat tertentu kubu kuat Umno,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku sabotaj dan boikot di peringkat akar umbi di negeri yang mana kedua-dua parti mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan pengundi Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Di Kelantan, Pas lebih berpengaruh daripada Umno. Di Terengganu pula Umno lebih berkuasa daripada Pas walaupun Pas menang. Namun ada faktor-faktor yang menyebabkan Umno mahu merampas kembali. Pahang jelas kubu Umno. Di Kedah sebahagian Pas dan sebahagiannya Umno.
“Sebenarnya cabaran yang dihadapi Umno-Pas ini bukannya masalah parti sangat tetapi di peringkat akar umbi. Umno mempunyai ahli yang di peringkat bahagian ibarat raja di bahagian masing-masing.
“Jadi bila parti lain mahu masuk, kemungkinan akan ada sabotaj. Kerusi tradisi Pas nak diserahkan kepada Umno juga bukan perkara mudah. Kemungkinan ada protes sebagainya,” ujar Dr Mazlan.
Oleh kerana itu, katanya kedua-dua parti mengambil langkah kerjasama menerusi piagam yang lebih ‘longgar’ berbanding tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat sedekad lalu.
“Piagam sebenarnya satu memorandum yang agak longgar berbanding tahaluf siyasi. Kalau dulu Pas membuat tahaluf dengan Pakatan Rakyat, ia satu hubungan yang lebih jelas dan mantap.
“Ini menunjukkan sikap berhati-hati (kurang yakin) kerana ada beberapa isu kalau tidak ditangani dengan baik akan membawa kepada kegagalan,” katanya. – RF8 Media