Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan barisan menteri Kabinetnya.
Mengakui berpuas hati dengan prestasi mereka, yang kebanyakannya pertama kali dilantik menganggotai kabinet, Dr Mahathir yakin kesemua mereka telah melaksana tugas diberikan dengan sebaiknya.
“Mereka telah (melaksanakan tugas) dengan semampu mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Ulang Tahun ke-21 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA): A Precious Legacy di KLIA, di sini hari ini dipetik laporan Sinar.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada menteri-menteri di bawah pentadbiran beliau telah melakukan yang terbaik untuk negara.
Sementara itu tambah Pengerusi Pakatan Harapan itu lagi, tugas sebagai seorang menteri Kabinet mendedahkan mereka dengan pelbagai kritikan.
Tambahnya, tidak kira selama mana pun seseorang itu menjadi menteri Kabinet mereka tidak akan terlepas daripada dikritik pelbagai pihak.
“20 tahun sekalipun mereka dalam Kabinet saya mereka tetap tidak terlepas daripada menerima kritikan,” jelas Dr Mahathir. – RF8 Media