Mesyuarat kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan pembelajaran seni khat Jawi di sekolah vernakular hanya boleh dilaksanakan secara pilihan, sekiranya dipersetujui Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan murid.
Hanya sekolah kebangsaan sahaja dibenarkan meneruskan pembelajaran tulisan Jawi bagi murid Darjah 4 tanpa pilihan.
Perkara itu yang diumumkan Kementerian Pendidikan semalam diharap akan mematikan bantahan persatuan pendidikan Cina dan India berhubung isu pembelajaran khat di sekolah vernakular.
“Dalam perbincangan terkini, jemaah menteri membuat keputusan mengekalkan keputusan minggu lalu agar pengenalan tulisan Jawi ini diteruskan, tetapi dilaksanakan hanya jika dipersetujui oleh PIBG serta ibu bapa dan murid sekolah jenis kebangsaan.
“(Pembelajaran di) Sekolah kebangsaan akan teruskan seperti biasa,” kata kenyataan tersebut.
Keputusan lain seperti pengenalan tulisan Jawi dimuatkan sebanyak tiga halaman dalam buku teks dan ia tidak akan dinilai dalam peperiksaan juga dikekalkan, kata kementerian itu lagi.
Pada 3 Ogos lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan pelaksanaan pengenalan Jawi akan dibuat secara pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran, serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.
Bagaimanapun ia dibantah Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan persatuan pendidikan Tami yang melancarkan petisyen menggesa ia dibatalkan.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan berkata pembelajaran itu dikekalkan dengan nama pengenalan tulisan Jawi dan bukan khat, dan diperkenalkan secara pilihan pada peringkat asas untuk Darjah 4 mulai 2020, Darjah 5 pada 2021 dan Darjah 6 pada tahun 2022 di sekolah jenis kebangsaan.
“Kementerian berharap melalui keputusan yang dibuat oleh mesyuarat jemaah menteri ini, isu pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan tidak lagi dibangkitkan secara tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan ramai.
“Kementerian juga dari semasa ke semasa akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak demi kebaikan dan manfaat sistem pendidikan negara,” kata Kementerian Pendidikan lagi. – RF8 Media