Tindakan parti-parti pembangkang menghangatkan isu perkauman di Malaysia amat dikesali pada bulan Zulhijah ketika umat Islam menunaikan ibadah haji di Mekah.
Tidak sewajarnya isu seni khat diajar di sekolah vernakular dan pendakwah Zakir Naik yang memacu sentimen perkauman di negara ini dijadikan ‘bahan api’ untuk melaga-lagakan kaum Melayu, Cina dan India demi meraih sokongan politik.
Ketua Angkatan Muda PKR Wilayah Persekutuan Na’im Brundage berkata, politik assabiyah (mengutamakan bangsa) yang cuba disemarakkan hanya menjebak Malaysia ke kancah huru hara jika dibiarkan berterusan atas nama Islam.
Menurutnya, sikap pelampau kaum ditentang oleh Nabi Muhamad SAW sendiri. Oleh itu, katanya rakyat Malaysia tidak faham mengapakah parti yang memperjuangkan agama menganggap sikap pelampau tersebut sebahagian daripada perjuangan Islam.
“Penyalahgunaan nama Islam untuk membakar api perkauman yang kini kian semarak adalah perbuatan yang serius dan harus dihentikan serta-merta.
“Keadilan di dalam ajaran Islam jelas merentasi sempadan lensa sempit perkauman. Di dalam hadis riwayat muslim Abu Daud dan Nasa’i, Nabi Muhamad SAW pernah bersabda bahawa “Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru ke arah assabiyyah, bukan dari kalangan kami orang yang berjuang atas dasar assabiyah ,dan bukan dari kalangan kami orang yang mati atas dasar assabiyah.”
“Petikan daripada hadis sahih tersebut jelas menunjukkan pendirian Rasulullah dalam menentang sekeras-kerasnya fahaman perkauman ataupun “assabiyah”. Sikap assabiyah ini boleh menyebabkan seseorang muslim terjerumus ke dalam budaya yang bersifat jahiliyah.
“Umat Islam di Malaysia harus bersatu untuk menentang usaha-usaha sesetengah pihak dalam mencipta persepsi bahawa ajaran Islam menyokong sifat perkauman yang diperjuangkan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Naim meminta agar pihak berkuasa bertindak lebih tegas terhadap pihak yang mencetuskan kontroversi dan memainkan isu perkauman agar keadaan tidak menjadi semakin buruk.
“Pihak penguatkuasa undang-undang harus peka di dalam memastikan sebarang usaha memecah belahkan keharmonian kaum di negara ini dapat di banteras sebelum ianya membarah.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum akan terus terdedah kepada ancaman-ancaman yang boleh menggugat keamanan negara jika tiada sebarang tindakan proaktif diambil oleh pihak pembuat dasar untuk membendungnya,” kata beliau lagi. – RF8 Media