Penyebaran salinan surat berkait lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu yang telah diubahsuai di laman sosial baru-baru ini dianggap sebagai tindakan berniat jahat.
Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail berkata, surat berkenaan telah disunting oleh pihak tertentu sebelum disebarkan kepada umum.
Menurut Azan, PKR ada mengutus surat kepada Malaysia Airport Sdn Bhd bagi meminta kerjasama untuk tujuan keselamatan di lapangan terbang sempena lawatan Anwar ke negeri itu pada 24 Ogos ini. Namun ia bukanlah surat dikeluarkan dari pihak Anwar seperti yang ditularkan.
“Kita ahli parti peringkat negeri juga maklumkan (lawatan) kepada pihak polis untuk tujuan keselamatan, begitu juga untuk keselamatan trafik, itu perkara biasa. Kita juga maklum kepada pihak lapangan terbang, kalau tidak nanti kata tiada makluman kepada mereka pula.
“Kita tidak minta apa-apa keistimewaan, cuma nak maklumkan kedatangan presiden PKR. Ia prosedur biasa tapi kita boleh lihat surat itu memang dipinda dengan niat untuk menyebarkannya kepada umum,” katanya.
Terdahulu, salinan surat berkaitan lawatan rasmi Anwar yang telah disunting itu mendapat kritikan banyak pihak kerana surat itu merujuk Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8.
Berbanding surat asal yang bertujuan memaklumkan, surat yang disunting itu mengambarkan seolah-olah Anwar memohon layanan istimewa sempena lawatannya.
“Soalnya, mengapa ada yang meminda dan berniat tidak baik sehingga nampak keterlaluan. Jika pihak lapangan terbang tidak bersetuju dan tidak membenarkan, kita tiada masalah. Itu terpulang kepada mereka,” katanya dipetik. – RF8 Media