Perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak menggambarkan kerajaan sedang bertelingkah.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Marzuki Yahya menjelaskan, walaupun perbezaan pendapat itu wujud dalam sesuatu isu, namun dari segi keputusan ditetapkan secara bersama.
“Kita (kerajaan) bersifat keterbukaan dan menerima apa sahaja pandangan yang mereka (pemimpin HARAPAN) nak keluarkan.
“Saya menyeru supaya kita menerima perbezaan tapi bukan bererti kita nak bergaduh dengan perkara-perkara yang remeh temeh ini,” katanya.
Marzuki sebelumnya mengulas pandangan sesetengah pihak yang mendakwa berlaku keretakan dalam kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu, Marzuki tidak menolak hakikat terdapat pihak-pihak tertentu cuba mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan sekali gus mempengaruhi rakyat untuk tidak mempercayai kepimpinan kerajaan HARAPAN.
“Tapi bagi kita itu perkara biasa dan kita anggap itu satu tentangan hebat buat kita. Insya-ALLAH HARAPAN akan terus menjalankan tanggungjawab kepada negara,” katanya lagi. – RF8 Media