Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijangka akan membuat keputusan penting kaedah yang akan digunapakai dalam mengurangkan kadar tol beberapa lebuh raya pada mesyuarat minggu hadapan.
Biar pun penghapusan sepenuhnya tol sukar dilakukan dalam keadaan keberhutangan negara yang tinggi namun Kementerian Kerja Raya dijangka akan mengemukakan cara bagi memberi diskaun sekali gus menunaikan separuh daripada janji penghapusan tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya PH dikemukakan kepada rakyat sebelum pilihan raya umum ke 14 lalu.
Memetik harian Singapura, The Straits Times pengurangan tol berkenaan dijangka akan melibatkan 29 batang lebuh raya.
Sebelum ini pada Jun lalu, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan tawaran rasmi untuk mengambil alih empat lebuh raya di Lembah Klang iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART dengan nilai RM6.2 bilion.
Bagaimanapun cadangan Menteri Kewangan Lim Guan Eng itu menyebabkan rasa tidak senang dengan Kementerian Kerja Raya kerana ia mengusahakan kertas cadangan berasingan dan membantah potongan bajet untuk projek lain bagi membiayai pengambilalihan empat lebuh raya daripada Gamuda Bhd.
Sehubungan itu, mesyuarat pada Rabu depan akan mengkaji penyelesaian dicadangkan bagi mengurangkan kadar tol terutama berkenaan jenis pembiayaan yang akan digunakan dan kos akhir yang akan ditanggung kerajaan, lapor Straits Times.
“Ada menteri mempersoalkan kenapa Lim enggan berbelanja untuk program lain tetapi minat hendak bayar RM6.2 bilion kepada Gamuda.
“Ia secara tidak sengaja sama jumlahnya dengan cadangan pakej menyelamatkan Felda yang mengambil masa lama untuk dimuktamadkan,” kata akhbar itu memetik sumber yang enggan dinamakan. – RF8 Media