Tuduhan bahawa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan hadir menyuarat bersama ketua-ketua parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain adalah tidak benar.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut tidak timbul kerana perdana menteri Tun Mahathir Mohamad hanya memanggil pemimpin kanan komponen PH yang membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke 14 lalu, bukannya ketua parti pada hari ini.
“Pertemuan tersebut adalah untuk mendapatkan pandangan dan maklumbalas mengenai hal ehwal perjalanan kerajaan yang menyentuh perkara-perkara portfolio dan kementerian-kementerian.
“Ini bermaksud PKR diwakili Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang pada ketika pembentukan kerajaan pasca PRU14 merupakan presiden PKR,” katanya dipetik.
Sehubungan itu, Fahmi menolak dakwaan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di posting Facebooknya bahawa Anwar ego kerana tidak mahu hadir dalam mesyuarat bersama PM.
Sejak petang semalam, beberapa akaun media sosial mula menuduh Anwar ponteng dalam pertemuan dengan perdana menteri.
Pagi ini, Khairuddin mengeluarkan kenyataan mendakwa Anwar ego dan tidak menghormati Mahathir.
“Apa penting sangat mesyuarat biro politik parti PKR bila semua sepatutnya hadir ke mesyuarat tersebut?
“Mana yang lebih penting apabila perdana menteri jemput semua presiden-presiden parti komponen untuk hadir mesyuarat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Pada 10 Mei tahun lalu, Mahathir mengadakan pertemuan dengan presiden PKR, Wan Azizah, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bagi membincangkan pembentukan kabinet. Saifuddin Abdullah dari PKR turut hadir sebagai setiausaha gabungan Pakatan Harapan. – RF8 Media