Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, menyuarakan keyakinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) mampu menawan Parlimen Kimanis dengan mudah sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu diadakan.
Memetik satu laporan media tempatan, Mohamad Sabu berkata, keyakinan itu berdasarkan beberapa faktor termasuk momentum kemenangan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam PRK Sandakan Mei lalu.
Menurutnya sikap rakyat di negeri itu yang tidak mudah dipengaruhi isu perkauman dan faktor calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Anifah Aman yang menang majoriti nipis di kerusi itu turut menguatkan lagi keyakinan itu.
“Jika dilihat di Sabah tiada sentimen atau politik perkauman berlaku di sana, dan berdasarkan PRK Sandakan, kita yakin WARISAN menang besar jika pilihan raya diadakan,” kata Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).
Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan Anifah di kerusi Parlimen Kimanis setelah mendapati ada unsur manipulasi termasuk kertas undi tambahan yang melanggar undang-undang pemilihan dilakukan pada pilihan raya lalu.
Sebelumnya, calon WARISAN, Datuk Karim Bujang memfailkan petisyen mencabar kemenangan Anifah dengan mendakwa Anifah melakukan rasuah dan amalan rasuah.
Beliau turut mendakwa SPR melakukan perkara yang salah ketika pilihan raya berkenaan di kampung Brunei dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cheng Meng yang mana ada 284 kertas undi tambahan di dalam kotak undi yang mana cukup untuk menjejaskan keputusan pilihan raya.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 156 undi dengan 11,942 undi manakala Karim sebanyak 11,786 undi.- RF8 Media