Perbezaan pandangan di antara pemimpin dalam kerajaan tidak mencerminkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berpecah belah, tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelancongan Sedunia 2019 di Kuala Lumpur, Dr Mahathir berkata, perkara itu terbukti apabila PH memainkan peranan bersama-sama dalam membuat keputusan termasuk dalam isu-isu kritikal dihadapi negara.
“Anda boleh lihat sama ada saya berjalan bersendirian atau tidak. Saya berjalan di mana-mana dan di mana sahaja saya pergi orang ramai akan berjabat tangan dan menyatakan sokongan mereka.
“Dalam parti, anda boleh lihat kabinet ini tetap bersama dan mampu membuat keputusan dalam isu-isu kritikal,” jelasnya.
Dr Mahathir berkata demikian dipercayai sebagai mengulas kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa PH kini berpecah.
Zahid semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan MIC ke-73 di Pusat Perdagangan Dunia Putra Ahad lalu dipetik berkata kononnya Perdana Menteri bersendirian dalam PH
Dakwanya, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang sedang membuat perancangan menolak kepimpinan Dr Mahathir.
Bagaimanapun, kenyataan Zahid boleh dipertikai kerana kedua-dua pemimpinitu kerap mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan situasi semasa dalam negara.
Malah pihak pembangkang sebelum ini pernah membuat dakwaan yang mendakwa Perdana Menteri itu hanya diperguna DAP bagi menarik sokongan rakyat kepada PH
Sementara itu dalam perkembangan lain, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengeluarkan kenyataan membidas kenyataan Ahmad Zahid.
Amirudin Shari meminta Ahmad Zahid mencermin diri sendiri sebelum mencampuri urusan politik parti lain.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu katanya wajar merasa bimbang keadaan politik UMNO selepas ramai ahlinya keluar parti menyokong kepimpinan kerajaan PH di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. – RF8 Media