Enakmen penukaran agama anak secara sepihak yang mahu dibentangkan di dewan Undangan Negeri Selangor digesa dibawa ke Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu
Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Biro Politik PKR semalam menyarankan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari agar memberi taklimat penuh kepada Majlis Presiden pada Jumaat ini, susulan bantahan parti komponen gabungan it di Selangor.
“Biro politik PKR telah mengadakan mesyuarat pada hari ini yang dipengerusikan Presiden PKR, Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, DAP Selangor menegaskan tidak akan menyokong sebarang rang undang-undang di Dewan Negeri Selangor yang membenarkan penukaran agama anak secara sebelah pihak oleh ibu atau bapa.
Amirudin berkata usul berkenaan masih perlu dibincangkan bersama rakan-rakan komponen PH, dan mungkin akan dibawa pada sesi DNS akan datang jika ada kepentingan.
Sementara itu, Fahmi berkata Amirudin juga memberikan taklimat berkenaan perkembangan terkini program-program bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Selangor, termasuk program air percuma dan Skim Mesra Usia Emas, iaitu pemberian baucar beli-belah sebanyak RM100 setahun kepada golongan tua.
Biro Politik mengarahkan supaya program-program itu ditambahbaik secara berterusan bagi memastikan kumpulan sasar B40 sentiasa menjadi keutamaan, di samping pendanaan program yang perlu bersifat lestari. – RF8 Media