Menjelang termeterainya kerjasama rasmi antara Umno dan Pas pada 14 September depan pemerhati politik masih sangsi formula politik itu mampu dilaksanakan memandangkan terdapat dua parti perkauman lain di dalam BN yang tegas mempertahankan kaum India dan Cina.
Manakala Pas begitu alergi menghadapi isu-isu agama Hindu misalnya dan mengekalkan perjuangan menegakkan hukum hudud bagi mendapatkan sokongan penganut Islam di Pantai Timur.
Bunga-bunga awal keretakan kerjasama itu boleh dilihat apabila Presiden MIC, SA Vigneswaran menyelar tindakan Pas yang mempertahankan pendakwah dari India, Dr Zakir Naik sedangkan sebelum itu presiden Pas Hj Hadi Awang mengeluarkan kenyataan gembira bersama MIC untuk perubahan politik di Malaysia
Mengulas hai itu, Timbalan Ketua Penerangan PKR, Manivanan Gowin percaya penggabungan yang akan dimeterai itu hanya bersifat sementara kerana komponen BN dan Pas mempunyai ideologi politik yang amat berbeza.
“Ideologi MCA, MIC berbeza dengan Pas dan Umno. Bagaimana mereka nak buktikan bahawa gabungan ini adalah bagus untuk rakyat?
“Mereka tidak realistik. Bila berdepan dengan orang Melayu Islam mereka akan kata gabungan ini untuk penyatuan ummah dan sebagainya. Bila berdepan orang Cina dan India mereka kata sebaliknya.
“Umno, Pas, MCA dan MIC hanya mengelirukan masyarakat, bukan untuk menjaga kebajikan rakyat dalam pelbagai aspek,” katanya.
Baru-baru ini, Presiden MIC Vigneswaran berkata Pas sepatutnya memberikan nasihat kepada Zakir agar menghormati bangsa lain di Malaysia.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MIC Ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.
Selain itu, menyentuh soal hukum hudud yang akan dilaksanakan oleh Pas, Manivanan yakin hal itu akan memecahkan BN sekiranya Pas bertegas ingin melaksanakannya terutama di Pantai Timur.
“Hukum hudud, Undang-undang 355, isu Zakir menunjukkan penegasan ekstrim Pas ketika ini yang perlu difikirkan MCA dan MIC.
“Gabungan itu (BN) mengabaikan MCA dan MIC dalam perjalanan politik, apa yang Umno sedang buat sekarang adalah mencari talian hayat walaupun menggugat persahabatan dengan parti komponen lain.
“Untuk menang dalam politik Umno perlu lakukan apa sahaja. Pas pun begitu melakukan perkara yang sama,” katanya lagi. – RF8 Media