Kerajaan Pakatan Harapan sedang mencari jalan untuk menyelesaikan isu tanggungan bayaran pencen setinggi RM28 bilion dan cadangan agar tiada lagi lantikan baharu dalam perkhidmatan awam di bawah skim tetap dan berpencen
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, hal berkenaan belum dibawa ke kabinet dan tiada sebarang keputusan dibuat.
Bagaimanapun mengingatkan rakyat hakikat bayaran pencen ketika ini sudah menjadi begitu besar dan menekan kewangan kerajaan.
“Sekarang ini kita (juga) bagi pencen kepada isteri dan anak (pesara kerajaan yang telah meninggal dunia). Ini semua menjadi beban kepada negara. Jadi kita (kerajaan) mungkin tak mampulah. Itu yang menjadi masalah,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di akhir lawatan kerja beliau di Kyoto, Jepun.
Baru-baru ini Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Borhan Dolah dilaporkan berkata lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik bermula tahun depan.
Menurut Borhan, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.
Merujuk kepada angka RM28 bilion itu, Dr Mahathir menjangkakan nilai bebanan pencen itu akan terus meningkat.
“Kita nak cari jalan supaya kerajaan mampu (bayar dan pegawai (penjawat awam) tidak rugi,” katanya.
Mengenai penulisan di blog beliau mengenai orang Melayu malas bekerja, perdana menteri berkata penulisan berkenaan ditujukan kepada golongan yang malas.
“Yang sanggup bekerja ada, saya tidak kata kepada orang yang sanggup (bekerja keras),” katanya.
Bagaimanapun, Dr Mahathir mahu rakyat Malaysia melihat kepada semangat bekerja orang Jepun yang sanggup melakukan semua pekerjaan dan tidak menggunakan tenaga kerja asing yang ramai sekaligus mengurangkan pengaliran keluar wang yang dihantar pulang pekerja asing.
“Di Jepun mereka sendiri sapu jalan dan mereka jaga kebersihan negara mereka. Mereka tidak kerahkan tenaga kerja asing dan sebab itu mereka maju dan kaya,” katanya lagi. – RF8 Media