Kerjasama Umno – Pas yang bakal termeterai 2 minggu daripada sekarang terus dipersoalkan rakyat dan para pemimpin Pakatan Harapan.
Pas yang suatu ketika dahulu bermati-matian menentang Umno menggunakan hujah al Quran dan Hadis tiba-tiba membuat pusingan U.
Dalam tempoh beberapa bulan selepas pilihan raya umum ke 14, Pas yang membenci salahguna kuasa dan skandal Umno kini menolak unsur-unsur jenayah itu dengan alasan Umno bukan lagi parti pemerintah dan tidak boleh berbuat zalim.
Bagaimanapun, justifikasi tersebut disifatkan tidak masuk akal oleh Penasihat Umum Amanah, Datuk Seri Ahmad Awang.
“Pas menjustifikasi kerjasama dengan Umno menggunakan fakta begitu (tidak ada lagi kezaliman). Pas ini fakta agama pun dia boleh selewengkan, pesongkan dan tukar segalanya.
“Macam mana dia boleh dakwa Umno tidak zalim lagi? Umno memerintah selama berpuluh tahun, zaman pemerintahan mereka terlampau zalim dan merampas hak rakyat.
“Cuba kalau terus berkuasa dan menang pilihan raya (PRU 14) maka negara akan hancur,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Menurut Ahmad, meskipun pemimpin Umno belum dijatuhkan hukuman bersalah di mahkamah namun katanya Malaysia sudahpun dilabel sebagai negara kleptokrasi hasil pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Setakat ini (beberapa negara) dunia telah mengenakan tindakan berkaitan 1MDB
“Di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain sudah ada pihak yang dibuktikan terlibat dengan penyelewengan 1MDB. Macam mana nak nafikan perkara itu. Takkan pemimpin Pas buta dalam perkara ini?” soalnya.
Dalam pada itu, berhubung Amanat Hadi, Ahmad mendesak agar Pas menyatakan pendirian terbaharu terhadap fatwa yang pernah dikeluarkan pada 1981, menuduh Umno sesat.
Hal itu, katanya kerana sejak puluhan tahun segelintir anggota Pas tidak makan sembelihan Umno, solat ke atas jenazah orang Umno apatah lagi solat berimamkan pemimpin Umno.
Semua itu perlukan fatwa baharu kerana ahli Pas akan berasa berdosa bersama ahli Umno dalam kerjasama selagi fatwa tahun 1981 tidak dimansuhkan.
“Kalau betul macam Haji Hadi kata sekarang ini Umno okay maka dia perlu isytiharkan penarikan balik fatwa. Walaupun benda itu tidak digazetkan namun satu dunia tahu, tersiar dalam semua media.
“Katakanlah ‘dulu suasana lain sekarang ini lain’, suasana berubah hukum berubah. Maka isytiharkan begitu,” ujarnya lagi. – RF8 Media