Gerakan licik penyebar fitnah bagi menghangatkan isu perkauman akan berdepan dengan laporan polis daripada jabatan kerajaan.
Terbahru, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis berhubung dakwaan beberapa pemilik akaun media sosial kononnya agensi itu mengeluarkan MyKad kepada warga asing tanpa melalui prosedur sah.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. Pihaknya mengesa siasatan menyeluruh dibuat berikutan maklumat palsu itu.
“Isu lima individu warga China memiliki MyKad sudah tular sejak 2015 lagi yang mana mereka terlibat dalam sindiket pemalsuan kad pengenalan di Sabah dan kes tersebut telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun masih dimainkan oleh pemilik media sosial, terutama di Facebook dan Twitter.
“Selain itu, berhubung dakwaan seorang wanita warga China memiliki MyKad, ingin saya jelaskan wanita itu merupakan isteri kepada warga Malaysia dan sudah berkahwin hampir 20 tahun dan telah memohon kewarganegaraan berdasarkan Perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar.
Menjadi kecenderungan pihak tertentu kebelakangan ini menyebarkan semula isu-isu lama sejak beberapa tahun lalu bagi menimbulkan rasa keliru dan tidak tenteram dikalangan rakyat.
JPN sebelum ini telah tampil menjelaskan isu diviralkan, namun fitnah itu yang mensasarkan seorang pemimpin DAP gagal dikawal dan ia terus disebarkan.
Sementara itu tambah Ruslin, JPN tidak sewenangnya memberi kewarganeggaraan kepada mana-mana individu asing kerana ia tertakluk kepada peraturan jabatan yang ditetapkan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendaftaran Negara 1959.
Susulan laporan itu tegasnya, JPN akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk pemantauan pemilik akaun yang telah melahirkan kebimbangan kepada rakyat itu. – RF8 Media