Setelah setahun empat bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah, sebahagian pengundi gabungan itu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan yang lembab.
Bagaimanapun mereka terpecah kepada dua segmen, iaitu Melayu dan bukan Melayu. Bagi pengundi Melayu mereka mempunyai pilihan mengundi Pas dan Umno yang akan menjadi kuasa politik baharu menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 15 kelak.
Bagi pengundi bukan Melayu persepsi mereka, BN bukan lagi perikatan sebagaimana dikenali sebelum 9 Mei 2018. Umno, komponen terbesar BN selepas berkerjasama dengan Pas berubah ke arah radikal ekstrem. Agenda perjuangan gabungan baharu itu hanya bertitik tolak kepada perkauman dan agama sempit.
“Tidak berbaloi mengundi BN ataupun Umno – Pas kerana mereka adalah koalisi yang gagal dan terlalu rasis. Mereka akan memusnahkan semangat Malaysia Baru walaupun buat ketika ini kerajaan PH adalah lembab.
“Tentu saya amat marah kerana isu perkauman yang timbul bertali-arus saban hari. Mengapa Kerajaan PH tidak boleh mengikis ataupun menangani masalah isu perkauman ini?” tanya Raju, 35 tahun seorang mekanik di Segambut.
Manakala seorang pengundi Cina, Mike Chan, 70, pula berkata kekuatan Umno – Pas masih di atas kertas dan ada banyak masa untuk PH membaiki keadaan sebelum PRU 15
“Gabungan dan kerjasama Umno – Pas mungkin ‘berupaya’ jatuhkan Kerajaan PH dalam PRU15. Tetapi perkataan ‘berupaya’ tidak semestinya bermaksud ‘akan’. Ini bergantung kepada prestasi Kerajaan PH dari sekarang sehinggalah ke tarikh parlimen dibubarkan,” katanya.
Sementara itu, pemilik kedai barangan logam di Kepong Baru, Ah Meng, 55 menyeru tindakan tegas perlu diambil terhadap penyebar-penyebar berita palsu di media sosial. Beliau memberi contoh berita palsu yang menyatakan ‘DAP Kepong telah memberi kerakyatan kepada ramai warga dari negara China’ seharusnya ditangani pada hari pertama berita itu tersebar.
“Berita palsu ini sangat-sangat merbahaya dan boleh mempengaruhi masyarakat Melayu boikot PH dalam PRU15 nanti.
“Kementerian Multimedia yang diketuai oleh Gobind Singh Deo nampaknya lembab bertindak dalam urusan media sosial. Sebenarnya penyebar berita palsu wajib dikenakan tindakan tegas iaitu hukuman penjara dan namanya dipaparkan dalam semua media termasuk suratkhabar dan televisyen
“Kita penyokong PH harap ini semua ini dapat diperbetulkan setelah Anwar menjadi PM. Kita tidak mahu Kerajaan PH menjadi kerajaan sepenggal.
“PH mempunyai potensi tetapi sehingga hari ini potensi itu belum direalisasikan. Pengundi Cina dan India inginkan PH dan Malaysia maju dan oleh sebab Kerajaan PH adalah satu kerajaan yang boleh dikritik, pengundi Cina dan India akan terus mengkritik Kerajaan PH sehingga menjadi satu kerajaan nombor 1 di dunia,” katanya.
Pendapat beliau adalah rumusan pandangan seramai 30 orang yang telah diwawancara oleh portal Suara Pakatan Daily. Mereka adalah penyokong PH dan juga mewakili pandangan rakan-rakan serta sanak-saudara
Pendirian mereka menunjukkan pengundi PH masih mahu menyokong kerajaan walaupun kecewa. Sebahagiannya mengharapkan Kerajaan PH menjadi lebih efisien setelah Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. – RF8 Media