Malaysia memerlukan satu dasar ekonomi baharu yang lebih pro-rakyat terutama dalam kalangan berpendapatan rendah B40.
Tinjauan mendapati penerusan dasar ekonomi BN ‘ditambahbaik’ yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini tidak mungkin mengubah cara pengagihan ekonomi secara saksama dan merapatkan jurang ekonomi antara kaum.
“Malaysia memerlukan satu dasar ekonomi yang mana semua rakyat yang miskin tanpa mengira bangsa atau agama akan dibantu oleh Kerajaan PH.
“Saya perhatikan bahawa sejak PH memenangi Pilihanraya Umum Ke-14 lalu, tidak banyak dibuat untuk membantu kumpulan B40 dan kami masih lagi menunggu satu rancangan atau dasar ekonomi yang berkesan untuk membantu semua rakyat yang memerlukannya,” kata Puan Maimunah, lingkungan 50an yang ditemui wartawan Suara Pakatan Daily di Kuala Lumpur.
Menurut peniaga kecil itu beliau dan jiran-jiran beliau dari pelbagai bangsa tidak berpuas hati dengan keadaan kewangan mereka yang hampir sama sejak BN dijatuhkan pada 9 Mei tahun lalu.
“Tidak banyak yang berubah. Malah harga barangan kegunaan harian juga ada yang meningkat. Dan sekarang kita dapat berita tarif air akan naik tidak lama lagi.
“Ya, walaupun tarif air tidak naik untuk sekian lama tetapi pada masa ini kita sedang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi,” keluhnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan lebih menumpukan ekonomi rakyat jelata selain menumpukan mencari pelaburan asing, ekonomi digital dan sebagainya.
“Kami telah memberi sokongan yang baik (mengundi) kepada Kerajaan PH dalam PRU14 dengan harapan bahawa situasi akan bertambah baik untuk kami selepas kemenangan PH, tetapi sehingga hari ini kami masih menunggu untuk perubahan dilaksanakan,” tambahnya. – RF8 Media