Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani boleh dianggap sebagai kementerian paling aktif melaksana usaha meningkatkan taraf ekonomi rakyat negara ini.
Sejak tahun lalu, kementerian diterajui Datuk Salahuddin Ayub itu mula memperkenal beberapa dasar baru bagi meningkatkan keupayaan sektor pertanian dan perikanan.
Ia bukan sahaja bagi memastikan bekalan sumber makanan dalam negara dapat dipenuhi namun bagi memastikan golongan petani dan nelayan dapat dibawa keluar dari masalah kemiskinan.
Usaha itu tidak terhenti disitu, Salahuddin baru-baru ini menggumumkan hasrat kerajaan menubuhkan konsortium nelayan dengan melibatkan pelaburan pihak swasta.
Model konsortium yang bermatlamatkan usaha bagi membantu para nelayan untuk mendapatkan bot serta peralatan dan teknologi moden yang akan dibekalkan oleh pelabur itu jelasnya masih di peringkat cadangan.
“Buat masa ini nelayan pantai menghadapi kesukaran untuk meningkatkan hasil tangkapan kerana kekurangan modal untuk membeli bot dan peralatan moden.
“Melalui konsortium itu, kita akan bagi segala kemudahan untuk menangkap ikan dan sebahagian hasil jualan ikan akan mereka nikmati manakala sebahagian lagi akan dapat dinikmati pihak yang melabur,” kata Salahuddin.
“Oleh itu, kedua-dua pihak akan mendapat keuntungan dengan model yang kita sedang fikirkan ini,” katanya.
Salahuddin sebelumnya hadir merasmikan Dokumen Pengembangan Perikanan (DPP) Jabatan Perikanan Malaysia di Putrajaya.
Ketika menyentuh berkenaan DPP Salahuddin berkata, ia merupakan Pelan Strategik Pengembangan Perikanan 2018-2030; Metadologi Pengembangan: Integrasi Pengembangan Perikanan; Manual Pengembangan Perikanan; Kit Perikanan; Dokumen Pemantauan dan Penilaian; Modul Latihan Pengembangan dan myKomuniti Perikanan.
DPP itu kelak jelasnya akan diterapkan kepada kakitangan barisan hadapan Jabatan Perikanan melalui siri taklimat yang akan dilaksanakan di peringkat negeri.
“Adalah diharapkan (DPP) akan menjadikan sektor perikanan khususnya nelayan pantai dapat mengubah nasib mereka pada masa akan datang,” tambahnya. – RF8 Media