Penyokong parti pembangkang digesa mencari idea lain untuk terus relevan selain melancarkan gerakan boikot produk bukan Melayu-Islam yang dicanangkan sekarang ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata, gerakan memboikot produk keluaran bukan Bumiputera akan merosakkan ekonomi negara, sekali gus membawa permusuhan antara rakyat.
Menurutnya, walaupun pengguna Islam perlu mencari makanan halal, namun kempen memboikot produk bukan Bumiputera bukan jalan terbaik.
“Baru-baru ini ada kempen yang cuba dibuat supaya memboikot barangan bukan Islam.
“Saya ingin beritahu pada malam ini, bahawa orang Islam memang perlukan barangan makanan halal, tetapi kita tidak boleh boikot (barangan bukan Bumiputera). Itu tindakan salah… tidak boleh,” katanya dipetik FMT.
Beliau yang juga ahli Parlimen Pulai berkata, pengguna Islam tidak sepatutnya berfikiran sedemikian dan perlu membayangkan kesan boikot tersebut kepada negara dan rakyat.
Sehubungan itu Salahuddin berkata semua bangsa tidak akan maju jika tidak membeli barangan antara satu sama lain.
“Saya sebagai menteri sentiasa menggalakkan rakyat menanam buah-buahan dan sayur-sayuran. Ada orang Cina tanam durian, ada orang Melayu tanam durian. Ada orang India tanam sayur dan ada orang India buat kebun besar, ternak lembu dan kambing.
“Cuba bayangkan kalau kita (orang Melayu) setuju boikot, macam mana kalau kita tanam durian, orang Cina tidak beli, macam mana kalau nelayan kita tangkap ikan, tetapi orang India tidak beli… apa akan terjadi kepada negara kita,” katanya. – RF8 Media