Pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu mempunyai trade mark yang berlainan dengan pimpinan Umno dan Pas jika mahu dipandang tinggi oleh pengundi.
Terbaharu Pengerusi Bersatu Tun Mahathir mengingatkan ahli parti itu agar mengambil iktibar daripada kejatuhan Umno yang berebut jawatan politik dan jawatan kerajaan sehingga rakyat meluat.
Katanya, pemimpin Bersatu perlu menyedari bahawa kemenangan mereka dan PH dalam pilihan raya umum lalu bukan kerana hanya kerana kekuatan gabungan itu, namun disebabkan penolakan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Harus ingat kemenangan kita bukan semata-mata kekuatan atau sokongan rakyat tapi parti yang kita kalahkan itu ditolak rakyat. 60 tahun memerintah negara tapi akhirnya rakyat tak suka.
“Nasib parti itu boleh beri pengajaran. Kita boleh belajar dengan lihat sikap pemimpin parti itu,” tegas Dr Mahathir.
Beliau sebelumnya berucap sempena majlis sambutan Ulang Tahun ketiga parti itu di Shah Alam.
Dalam ucapannya, Dr. Mahathir mengingatkan kepada seluruh ahli parti itu agar tidak lupa atau tersasar dari asas perjuangan parti berkenaan.
“Jangan kita sertai parti hanya untuk dapatkan sesuatu, jangan lupa sama sekali perjuangan parti kalau tidak kita pun akan ditolak,” tegasnya. – RF8 Media