PAS desak agar pengarah filem Malaysia mengubah cara penerbitan perfileman dengan memikirkan corak penerbitan filem yang berunsurkan positif sebelum disiarkan untuk ditonton oleh masyarakat umum.
Mengulas lanjut, semakin hari rakyat Malaysia di hantui berbagai perasaan kebimbangan khususnya ibubapa penjaga apabila menonton filem yang diterbitkan oleh Syarikat perfileman Malaysia yang langsung tidak menyerapkan unsur-unsur positif dan ilmiah.
Ketua Lajnah Dewan Pemuda Penerangan PAS Pusat (DPPP), Ridhuan Mohd Nor berkata “Saya tidak tahu bagaimana pihak penerbit boleh menyiarkan filem-filem yang berunsurkan seks, tahyul, mat rempit, dan sebagainya yang telah disajikan kepada masyarakat tanpa memikirkan kesan akan datang kepada golongan muda khususnya”.
Jelasnya lagi, masyarakat yang sememangnya mudah terpengaruh dengan aksi-aksi ingin mencuba, aksi menakutkan dan menyeramkan sehingga timbul dialog yang menghina Islam. Walaupun filem Hantu Bonceng bersifat komedi dan berunsur khayalan namun ia tidak boleh mempermainkan kalimah syahadah yang merupakan isu sangat sensitif di sisi Islam. Hal ini berlaku disebabkan kurangnya peka terhadap apa yang dilakonkan.
“Pada hal Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) yang dikatakan mempunyai panduan penapisan filem seharusnya dapat menghalusi dan melihat implikasi hasil daripada penayangan setiap filem yang hendak diberi kelulusan tayangan.
“PAS berharap jangan hendaknya industri filem di negara ini mulai cenderung untuk menghasilkan karya secara bebas seperti pengusaha filem Barat sehingga sensitiviti agama dan nilai sakral yang ada pada masyarakat timur diketepikan hanya kerana mahu bersaing dan setaraf dengan industri perfileman negara berkenaan”, katanya.
Secara jujurnya filem-filem yang disajikan oleh pihak penerbit kepada masyarakat amat benar mengecewakan dan saya yakin semua masyarakat juga rasa terkilan dengan filem-filem yang disiarkan tanpa penapisan.
Punca lahirnya anak luar nikah yang semakin berleluasa di sebabkan sebaran perfileman Malaysia yang banyak mempengaruhi semua penonton sehingga golongan belia berani mencuba sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan. Filem yang berunsurkan negatif seperti sebaran video lucah tersebar luas tanpa di ambil tindakan sewajarnya oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Justeru itu, langkah mengatasi masalah gejala sosial di kalangan beliawanis dalam menyahut seruan kerajaan negeri Selangor, Pakatan Rakyat (PR), PAS Gombak sentiasa mengadakan program mendekati rakyat bagi melahirkan Generasi Idaman Selangor (GeMS).
“Kami sentiasa memberi kerjasama dengan semua badan NGO, masjid dan surau dengan menganjurkan pelbagai program pendekatan rakyat terutamanya mendekati golongan beliawanis agar mereka tidak rasa di singkirkan daripada pelbagai pihak,” katanya.

catriona
Berikutan dengan tumbuhnya penerbitan filem yang merosakkan pemikiran masyarakat, PAS juga mendesak agar pengarah filem mengubah cara penerbitan perfileman dengan memikirkan corak penerbitan filem yang berunsurkan positif, ini adalah bertujuan melahirkan generasi yang beribawa untuk mentadbir Negara ini akan datang dan mengurangkan berlakunya gejala sosial dan keruntuhan akhlak dan akidah umat islam.
Progam Ati Zina, ceramah, forum yang diadakan adalah usaha murni pelbagai pihak bagi memastikan setiap malam sejarah tersebut tidak dicalarkan dengan titik hitam dikalangan wanita, kata Ridhuan selepas mengadakan Program Maal Hijrah di Masjid Kg. Nakhoda petang semalam.
Sementara itu, Catriona Ross, Selebriti terkenal pula berkata, “Pihaknya berharap agar semua muslimat dan beliawanis yang hadir dalam majlis ini menghijarahkan diri kearah kebaikan sempena Maal Hijrah.
“Tiadalah gunanya setiap tahun menyambut Maal Hijrah, berbagai tema dilaungkan oleh kerajaan yang hanya sedap mendengar sahaja, namun usaha untuk mencapai kearah itu masih di takuk yang lama.
“Kehidupan yang kita nikmati ini adalah sementara waktu dan tiada yang kekal abadi melainkan amal ibadah kita yang dilakukan di dunia ini untuk bekalan di akhirat akan datang,” katanya.
Jelas Catriona lagi, penyiaran filem yang kini semakin membimbangkan semua rakyat menontonnya terutamanya ibubapa apabila anak-anak mereka dengan tidak segan silu lagi membicarakan isu seksual,meniru budaya rambang, menjadi mat rempit jalanan apabila melihat filem yang di siarkan.
Sekali pandang, ia sama sekali menghilangkan nilai-nilai murni dalam masyarakat yang tiada unsur islam dan sekaligus mengenepikan budaya melayu walaupun yang 100% pelakon utamanya adalah orang Melayu tulin dan Agamanya Islam.
Justeru itu, ibubapa, guru dan pihak berwajib harus memainkan peranan mengawal berlakunya gejala sosial dengan menukar corak pemikiran perfilemen Malaysia yang sediada demi masa depan anak generasi muda.
Isu perfileman ini seharusnya ditangani oleh semua pihak bukan hanya terletak pada seorang ustaz, ustazah, pendakwah tetapi semua lapisan masyarakat harus menjalankan tanggungjawab ini sebaiknya.
Syarikat perfileman seharusnya kreatif menyiarkan cerita yang bentuk Islamic dan ilmiah dengan mengajak orang ramai membuat kebaikan bagi membendung gejala sosial, Ini adalah bertujuan untuk membuka mata masyarakat agar memikirkan kebaikan dan keburukan sesuatu perkara sebelum melaksanakannya.
Kita bimbang dengan penyiaran filem-filem berunsurkan negatif yang semakin berleluasa tanpa dibendung akan makin banyak lahirnya anak-anak luar nikah, mengkufurkan Allah SWT apabila melihat cerita berunsurkan tahyul.
“Janganlah kita hanya mengaut keuntungan sebelah pihak tetapi akan datang generasi yang penentu masa depan Negara dirosakkan dengan unsur-unsur negatif yang disiarkan dalam filem tersebut”, ujar Catriona.
Dalam pada itu, beliau juga turut lahirkan rasa terkilan dengan sikap dan pandangan syarikat perfileman dan masyarakat apabila melihat artis yang sudah berubah mereka terus mengenepikan artis tersebut.
“Fenomena hari ini memang amat mendukacitakan. Tidak seharusnya mereka mengenepikan artis-artis yang sudah berhijrah menjadi mukmin yang lebih baik”.
Semua artis ini harus diberikan sokongan 100% tetapi apa yang berlaku, pintu rezeki mereka di tutup kerana mungkin syarikat perfileman bimbang perubahan artis tersebut akan mencemarkan nama syarikat mereka.
Pandangan negatif ini seharusnya di ubahkan, kerana pada saya apabila artis telah berhijrah makin ramai peminat ingin mendampingi mereka dan mengenali artis tersebut lebih dekat lagi yang sekaligus akan mengharumkan industri perfileman Malaysia juga, katanya.
Alhamdulilah apabila saya sudah berhijrah, rezeki yang Allah SWT berikan lebih baik dan kehidupan saya lebih tenang bahkan saya di kelilingi oleh orang-orang yang beriman dan sentiasa membantu saya dalam mencari erti kehidupan sebenarnya.
“Bagi saya rezeki dan kehidupan kita telah ditetapkan Oleh Allah SWT dan kita perlu percaya apa yang telah ditetapkan-Nya. Semua artis yang berubah tidak perlu bimbang mengenai rezeki tersebut kerana Allah SWT sudah aturkan kehidupan hambanya” kata Catriona kepada media.