Rakyat Malaysia boleh menarik nafas lega dengan jamianan terbaharu kerajaan Pakatan Harapan akan kekal memberi subsidi jika harga minya dunia meningkat susulan serangan dron pemberontak Houthi, Yaman ke atas loji minyak Arab Saudi yang mengurangkan pengeluaran minyak negara itu kepada separuh.
Menurut perdana menteri Malaysia Tun Mahathir Mohamad tindakan Arab Saudi menggantung sementara pengeluaran di dua loji minyak Aramco susulan serangan akan memberi kesan kepada harga minyak dunia namun Malaysia katanya, kerajaan akan memberi subsidi bagi mengimbangi kenaikan harga.
“Kalau dia (Arab Saudi) terpaksa henti pengeluaran minyak ditapis sebanyak sejuta tong, sudah tentu beri kesan kepada harga minyak seluruh dunia.
“Tetapi di Malaysia bila harga minyak naik, kita beri subsidi. Di United Kingdom, kalau minyak naik, dia (kerajaan) naikkan cukai. Bagi dia, orang dia tak merungut,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan The Putrajaya Boat Race 2019 hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian semasa ditanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula harga runcit petrol RON95 yang kini ditetapkan pada paras RM2.08 jika berlaku kenaikan harga minyak dunia berikutan kejadian serangan itu.
Putera Abdulaziz Salman, dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita SPA semalam, berkata Arab Saudi menggantung pengeluaran di dua loji minyak Aramco yang diserang pemberontak Yaman.
Menteri Tenaga Arab Saudi itu berkata serangan tersebut menyebabkan penggantungan sementara pengeluaran di loji Abqaiq dan Khurais yang membawa kepada gangguan kira-kira 50 peratus pengeluaran keseluruhan.
Aramco dalam kenyataan berasingan menjelaskan serangan itu mengakibatkan penggantungan pengeluaran 5.7 juta tong minyak mentah sehari.
Serangan dron pemberontak Houthi ke atas Abqaiq dan Khurais, dua kemudahan utama Aramco di timur Arab Saudi, adalah yang terbaharu dalam siri serangan ke atas loji minyak negara itu sejak beberapa bulan ini.
Pemberontak Houthi berkata, mereka melancarkan operasi berskala besar membabitkan 10 dron di kemudahan itu, lapor televisyen kumpulan itu, Al-Masirah. – RF8 Media