Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melihat ulasan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir berkaitan calon-calon Barisan Nasional (BN) Negeri Perak masih menjadi persoalan terutama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang berbahas baru-baru ini secara sinis menyindir Datuk Seri Zambry di dalam ucapan-ucapannya.
Menurut Setiausaha,Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Salman Haji Saleh situasi itu memperlihatkan kelemahan zambry dalam membuat keputusan yang mungkin memberi kesan kepada prestasi BN di Perak dalam PRU ke-13.
“Apa yang dimaklumi isu itu memaksa Datuk Seri Zambry mengemukakan lebih awal nama-nama calon BN Perak ketika mengerjakan ibadah Haji di Mekah bersama Dato’ Sri Haji Mohd Najib Tun Abdul Razak baru-baru ini.
“Sudah tentu banyak persoalan timbul berikutan nama-nama calon BN yang telah dikemukakan oleh Datuk Seri Zambry merupakan pilihannya kini. Sudah tentu kebanyakkan ADUN BN sedia ada tidak lagi berpeluang menjadi calon terutama untuk kerusi DUN. Tetapi tidak boleh dinafikan bahawa senarai awal yang disediakan oleh Datuk Seri Zambry mendapat bantahan yang kuat daripada Umno Bahagian. Banyak persoalan walapun sedap diungkap oleh Datuk Seri Zambry sebenarnya masih belum mendapat satu keputusan konkrit sebenarnya.
“Ini termasuk calon-calon muda yang masih tidak mendapat ruang dalam Umno Bahagian yang kini masih menjadi perkiraan tarik tali oleh Datuk Seri Zambry. Ini juga kerana banyak ADUN lama yang masih mempunyai pengaruh samada di peringkat Umno Bahagian mahupun kepimpinan Umno Malaysia yang menyukarkan Datuk Seri Zambry menetapkan pilihannya,” katanya.
Tegas Salman, Datuk Seri Zambry pasti akan mengulangi kegagalan sepertimana yang pernah berlaku terhadap Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Mohammad Ghazali yang terpaksa menangisi kesilapannya dan tidak keluar rumah akibat kekalahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 12 yang lalu.