Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan mungkin satu-satunya yang paling bertimbang rasa kerana tidak akan membenarkan kenaikan cukai pintu meskipun kawasan perbandaran itu bakal diisytiharkan sebagai bandaraya.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Zazali Salehudin berkata, sekiranya status kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dinaik taraf, tiada sebarang kenaikan cukai pintu akan dikenakan.
Pendirian itu jelasnya telah dimaklumkan oleh kerajaan negeri kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat.
Menurutnya, dijangka pada awal tahun hadapan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) dan MPS akan bergabung menjadi satu entiti di bawah Majlis Bandaraya Seremban.
“Tiada kenaikan cukai pintu (apabila Seremban diisytihar bandaraya) setahu saya memang tidak ada sehinggalah satu tempoh yang akan dimaklumkan.
“Masyarakat jangan risau, tiada sebarang kenaikan. Apa yang penting kerja perlu dilaksanakan dan dijalankan dengan baik kerana bila sudah menjadi bandaraya lagi banyak cabaran kerja nanti,” katanya dipetik.
Zazali sebelumnya hadir pada Majlis Minum Petang dan Ramah Mesra Media bersama MPS dekat Wisma Perbandaran Seremban yang dihadiri kira-kira 20 pengamal media di negeri itu.
Dalam ucapannya, beliau menggesa pihak media sentiasa membuat laporan seimbang mengenai MPS selain menyampaikan teguran membina.
“Laporlah berita yang sahih dan tepat, kalau kita ada salah kita sedia menerima teguran kerana itu akan memberi ruang untuk kita memperbaiki cara kerja agar menjadi lebih baik,” katanya pada majlis itu. – RF8 Media