Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dihentikan sebagai mana gesaan Dr Jomo Kwame Sundaram berikutan keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa projek berkenaan terbelit korupsi peringkat tertinggi.
Menurut Anwar ECRL memenuhi kehendak rakyat di negeri Pantai Timur yang mahukan sistem pengangkutan darat lebih berdaya maju dan diperluaskan.
Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, walaupun projek itu wajar diteruskan, namun rundingan semula kos pembinaan wajar dilakukan.
“Projek ECRL telah dimulakan, jadi soal tidak setuju tidak berbangkit,” ujarnya.
Tambah Anwar, pengakuan seorang saksi dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak baru-baru ini menjadi sebab kuat mengapa kos projek tersebut perlu diperinci lebih lanjut.
“Dalam pengakuan kenyataan bersumpah disebut sebahagian kos itu diambil untuk bayar hutang 1MDB. Jadi kita perlu tahu di mana dan berapa,” tambah Presiden KEADILAN itu lagi.
Anwar merujuk kepada saksi, Amhari Efendi Nazaruddin, bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri Najib Razak, bahawa projek ECRL ditimbulkan untuk selamatkan 1MDB.
Anggaran kos terkini Putrajaya terhadap projek itu adalah RM44 bilion. Satu jumlah terlalu tinggi sehingga mendorong ahli ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram mencadangkan agar projek itu dibatalkan. RF8 Media