Biarpun pembangkang Umno dan Pas mengisytiharkan di laman-laman sosial bahawa kerusi parlimen Tanjong Piai hampir pasti menjadi milik mereka berikutan kedudukan undi kedua-dua parti itu sekiranya dicampurkan mengatasi Pakatan Harapan (PH), Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran mempunyai pendapat berbeza.
Katanya, majoriti tipis kemenangan calon BERSATU Dr Md Farid Md Rafik sebanyak 524 undi dan calon Pas pula mendapat lebih 2,000 undi dalam pilihan raya umum ke 14 lalu bukanlah faktor menjamin kemenangan BN, apatah lagi berdepan rekod cemerlang allayarham Dr Farid.
Katanya, PH masih mempunyai harapan di Tanjung Piai kerana jumlah pengundi Cina yang besar iaitu sebanyak 41%. Manakala jumlah pengundi Melayu walaupun 57% terpecah kepada Umno, Pas, PKR, Bersatu dan Amanah.
“Tidak kira siapa pun calon pembangkang, PH akan berdepan dengan cabaran yang hebat dari pihak lawan kali ini.
“Saya harap perkara yang berlaku di Cameron Highlands di mana ramai orang Cina dan India tidak keluar mengundi tidak akan berlaku di Tanjung Piai sebab setiap undi diperlukan oleh PH dalam pertarungan yang amat sengit ini,” kata bekas calon pilihan raya kecil Cameron Highlands, Januari lalu itu.
Manogaran berpendapat, dengan sokongan padu daripada semua kaum tidak mustahil PH menang walaupun menghadapi lambakan isu perkauman dan percubaan pembangkang untuk menghuru-harakan negara.
“Yang penting untuk PH ialah melemahkan senjata isu perkauman.
“Kalau PH gagal menangani retorik perkauman dari pihak pembangkang, maka majoriti undi Melayu akan berpihak kepada mereka dan ini akan menjejaskan peluang menang.
“Di Cameron Highlands isu perkauman telah menjadi faktor yang menumpaskan saya. Justeru, PH wajar berkempen kepada semua lapisan masyarakat dengan hujah bahawa Kerajaan PH adalah adil kepada semua kaum dan rakyat miskin dari semua lapisan masyarakat akan diberi bantuan dengan sepenuhnya,” tegas Manogaran lagi. – RF8 Media