Walaupun kempen boikot beli produk bukan muslim dianggap berjaya meningkatkan permintaan kepada produk muslim, namun sikap kumpulan yang menggunakan alasan Nabi Muhammad S.A.W memboikot barangan bukan Islam ditegur.
Alasan yang kerap dijaja oleh kelompok pro-pembangkang ialah Rasulullah ketika membuka kota Madinah segera mewujudkan pasar muslim dan melarang orang Islam membeli daripada Yahudi.
Pengarah Akademik Saudara Research Centre, Wan Ji Wan Hussin menolak hujah sedemikian dan menganggapnya sebagai pendekatan yang tidak pernah diamalkan Islam.
Katanya, Nabi S.A.W membuka pasar muslim kerana Yahudi berdagang secara zalim, mengamalkan riba dan mengenakan sewa tinggi.
“Nabi tidak pernah memboikot perniagaan orang bukan Islam. Yang Nabi boikot adalah dua kelompok sahaja, iaitu kelompok yang monopoli sehingga menyusahkan pengguna.
“Kedua, kelompok yang menyerang agama Islam dan berusaha mengeluarkan Muslim dari kota Mekah dan Madinah. Orang bukan Islam yang tidak ada dua sifat ini tidak pernah diboikot oleh baginda,” ujarnya dipetik Suara Keadilan.
Hal ini sesuai dengan sirah nabawi yang merakamkan Nabi Muhammad SAW sehingga ke akhir hayat baginda berurus niaga dengan Yahudi. Baginda pernah menggadaikan baju besinya dan memajakkan tanah kepada Yahudi.
Sehubungan itu, Wan Ji menggesa pengguna Islam tidak memboikot mana-mana produk bukan muslim sebaliknya lebih baik mereka mengutamakan produk barangan yang berkualiti.
“Saya cadang agar beralih dari utamakan produk muslim semata-mata kepada utamakan produk berkualiti. Kalau muslim itu buat produk tidak ada kualiti, pembeli muslim tidak akan bertahan lama untuk membeli produk tersebut.
“Tidak wajar untuk boikot perniagaan bukan Melayu yang lebih maju. Lebih tidak wajar, apabila kempen ini berlatarkan semangat perkauman dan permainan sentiment agama,” katanya lagi.
Wan Ji juga melahirkan kebimbangan konsep utamakan barangan muslim itu mampu menjadi modal untuk mencetuskan isu perkauman. – RF8 Media