Di tengah-tengah keghairahan Umno dan Pas mahu meletakkan calon Melayu di kerusi parlimen Tanjung Piai, MCA bertahan dengan gesaan agar calon Cina diletakkan di situ.
MCA tidak rela kerusi tradisi mereka dirampas oleh dua parti perkauman Melayu yang berpiagam baru-baru ini demi pembelaan kaum Cina yang setia mengundi BN sejak sekian lama di parlimen tersebut.
Menurut MCA pengundi di Tanjung Piai akan memilih calon terbaik tanpa mengira kaum dan agama.
Ketua Pemudanya Nicole Wong berkata, kempen yang sejak kebelakangan ini dilancarkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) yang mengutamakan calon Melayu (Vote Malay First) tidak begitu terkesan dalam kalangan pengundi di Tanjung Piai
“MCA dan BN sentiasa bersikap sederhana. Tanpa mengira latar belakang kaum atau agama calon, kita mengalu-alukan mereka jika berkongsi idea yang sama seperti kita,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Timbalan Pengerusi MCA Johor, Lim Pay Hen pula berkata walaupun berdepan kempen VMF, jentera parti negeri itu sudah memulakan tugas di lapangan untuk mendekati pengundi di kawasan tersebut.
Lim yang merupakan senator Dewan Negara berkata parti itu akan bertemu pengundi untuk menjelaskan isu semasa menjelang PRK itu.
“Kita hanya bersedia untuk PRK itu. Kita tidak mahu terpinggir dari kempen ini,” katanya.
Ketua Biro Gerakan Masyarakat Awam MCA, Ng Kian Nam menyifatkan kempen anjuran GPS itu sebagai agak keterlaluan.
“Kempen ini bertentangan dengan Perlembagaan persekutuan kerana setiap orang mempunyai hak asas yang sama dan tidak boleh didiskriminasi berdasarkan kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata walaupun Pas lebih berfahaman konservatif, parti itu tidak pernah meminta pengundi memilih calon Islam sahaja.
Seperti kempen Dahulukan Produk Muslim (BMF), Ng berkata kempen GPS akan gagal sekali lagi kerana rakyat Malaysia sudah matang untuk memilih dengan bijak.
“Tidak bermakna jika semua perkara dipandang dari sudut perkauman dan agama sahaja. Sebaliknya, kita perlu fokus untuk mencari calon yang mampu berkhidmat di kawasan itu,” kata Ng.
MCA bertanding di Tanjung Piai pada empat pilihan raya umum (PRU) selepas kerusi itu diwujudkan pada 2003 susulan persempadanan semula.
Bekas presiden MCA Ong Ka Ting menang kerusi itu pada PRU 2004 sebelum Wee Jeck Seng mempertahankan kemenangan pada 2008 dan 2013. – RF8 Media