Majlis Pimpinan Pusat PKR berjanji akan memberi sokongan penuh kepada mana-mana calon diletakkan Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen P165 Tanjung Piai.
Pengarah komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, mereka akan turun dengan semua kekuatan pada siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) itu nanti bagi memenangkan calon HARAPAN.
“KEADILAN akan mengerahkan seluruh jentera pilihan raya parti untuk turun membantu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Pakatan Harapan,” katanya.
Difahamkan, keputusan itu diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat majlis pimpinan pusatnya.
PRK Tanjung Piai bakal diadakan selepas kerusi itu kosong setelah setelah kematian mengejut Ahli Parlimennya, Md Farid Md Rafik pada 21 September lalu berikutan komplikasi jantung.
Farid, yang juga naib pengerusi BERSATU Tanjung Piai, menang di kerusi itu pada pilihan raya umum 2018 menewaskan Wee Jeck Seng dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 524 undi.
Sementara itu, Fahmi turut berkata, KEADILAN juga akan sentiasa berusaha mengukuhkan semangat perjuangan HARAPAN yang mempertahan Perlembagaan Persekutuan, terutama dalam isu kedudukan bahasa Melayu dan agama Islam di negara ini.
Parti itu juga tegasnya akan sentiasa mempertahan prinsip keadilan rakyat terutama dalam merangka dasar.
Beliau sementara itu turut meminta pihak pembangkang berkempen dengan bersih pada siri kempen PRK akan datang dengan tidak memanipulasi isu agama dan kaum bagi menarik sokongan murahan.
“KEADILAN menegaskan bahawa semua pihak perlu mengelak dari menggunakan alasan agama dan kaum terutama untuk mengalih pandangan umum dari isu ekonomi dan agenda rakyat,” katanya lagi. – RF8 Media